TheMalaysiaTime

Ku Li petik perlembagaan dalam debat mengenai autonomi dengan Jo-anna Rampas

2026-03-27 - 00:40

Hos jemputan FMT Jo-anna Rampas beritahu tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah bahawa wacana mengenai pemisahan yang timbul di Malaysia Timur ialah simptom kekecewaan mendalam terhadap Putrajaya. PETALING JAYA: Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan Sabah dan Sarawak bahawa negeri itu perlu beroperasi dalam kerangka perlembagaan yang dibentuk oleh pengasas Malaysia 63 tahun lalu, ketika ketegangan berkaitan kuasa persekutuan dan hak negeri semakin meningkat. Dalam wawancara eksklusif baru-baru ini, hos jemputan FMT, Jo-anna Rampas bertanya kepada tokoh veteran itu mengenai cara rakyat Malaysia harus mengurus ketegangan yang semakin meningkat antara hak negeri dan keperluan persekutuan, ketika kedua-dua negeri itu menuntut autonomi lebih besar, malah ada yang mencadangkan pemisahan. “Bagaimana mereka takrifkan autonomi itu?” soal Tengku Razaleigh, yang pernah menjadi Ahli Parlimen selama 48 tahun sehingga 2022 dan menteri persekutuan dari 1976 hingga 1987. Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia Timur nampaknya keliru antara autonomi dengan kemerdekaan. Tengku Razaleigh menegaskan, semua negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, mesti berfungsi dalam struktur perlembagaan persekutuan, menambah bahawa autonomi yang dituntut itu sebenarnya telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. “(Mereka) perlu bekerja dalam kerangka perlembagaan itu,” katanya kepada Jo-anna, sambil menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak telah bersetuju dengan kerangka itu ketika menyertai Malaysia. Tidak boleh adanya tuntutan di luar apa yang dibenarkan oleh perlembagaan, tambahnya. Tengku Razaleigh, yang dikenali sebagai Ku Li, berkata perlembagaan dengan jelas menetapkan kedua-dua kuasa persekutuan dan hak negeri. Malah, katanya, kuasa kerajaan persekutuan juga tidaklah tanpa had. “Kita tetap terikat dengan undang-undang yang mengehadkan tindakan kita. Tiada siapa yang benar-benar bebas. Malah nabi juga mesti patuhi batasan yang ditetapkan oleh Tuhan,” katanya. Beliau berkata demikian susulan komen Setiausaha Agung GPS yang juga Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dalam temu bual radio BFM pada Januari lepas bahawa jika rakyat Semenanjung terus ‘bertengkar tentang segala-galanya’ dengan Sarawak, ‘ceraikan sahaja (Sarawak)’. Nanta kemudian menjelaskan bahawa kenyataan itu bertujuan menggalakkan keharmonian yang lebih baik, bukannya menyeru pemisahan. Tengku Razaleigh, 87, tidak mengulas secara langsung kenyataan Nanta, namun tegas mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan. “Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada kerajaan persekutuan. Mereka tidak boleh dipisahkan (daripada persekutuan),” katanya kepada Jo-anna. Menurutnya, persekutuan bukan dibina sebagai perjanjian transaksi jual beli antara pihak yang bersaing, sebaliknya sebagai satu sistem tanggungjawab bersama. “Yang kuat mesti bantu yang lemah — bukan ‘apa milik saya, saya punya’,” katanya. “Kita berkongsi. Kamu tiada tentera laut (sendiri), tiada tentera darat. Kita yang ada di tempat lain harus bantu. “Tiada istilah: Ini milik Kuala Lumpur; ini milik Perlis. Tidak!” Jo-anna, yang berasal dari Sabah, menegaskan beliau sendiri tidak menyokong sentimen pemisahan. “Saya cintakan Malaysia dan saya tidak lihat Sabah atau Sarawak akan berada dalam kedudukan yang baik jika kita berjaya keluar (daripada persekutuan),” katanya. Namun, katanya, beliau faham mengapa wacana sedemikian timbul, menjelaskan ia mencerminkan kekecewaan mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia Timur terhadap Putrajaya. “Perbincangan mengenai keluar daripada Malaysia ini satu simptom. Mungkin wujud defisit kepercayaan. Selepas 60 tahun berdiam diri, kini ia dibawa ke mahkamah,” katanya, merujuk kepada tindakan undang-undang yang sedang berjalan antara Petronas dan kerajaan Sabah berhubung hak minyak dan gas di perairan negeri itu. Jo-anna menambah, perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 tidak seharusnya dilihat sebagai isu eksklusif Sabah dan Sarawak. “Kita tidak mahu Malaysia berpecah-belah kerana kita gagal faham sejarah kita sendiri. Idea bahawa MA63 hanya isu untuk Sabah dan Sarawak tidak tepat, (sebaliknya) ia perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Share this post: