TheMalaysiaTime

Kritik kerajaan berkait SPRM, DAP mahu tegaskan kemandirian

2026-02-27 - 00:33

Menteri Loke Siew Fook dan Gobind Singh Deo menyeru penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan berkaitan SPRM. PETALING JAYA: Kritikan terbuka DAP terhadap cara kerajaan mengendalikan tuduhan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertujuan untuk menjauhkan parti itu daripada persepsi bahawa ia hanya ‘pak turut’ dalam pentadbiran Madani, kata seorang penganalisis. Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, parti itu berhasrat untuk menegaskan kemandirian, walaupun sebagai komponen utama dalam kerajaan perpaduan. Beliau berkata DAP secara sedar sedang berusaha mengelak daripada dipalit dengan ‘tadbir urus gaya Umno’, yang mana MCA dan MIC dikatakan sekadar memerhatikan dakwaan-dakwaan rasuah semasa pentadbiran Barisan Nasional. “Jika DAP berdiam diri, ia berisiko dilihat sebagai bersubahat dan lemah, atau lebih teruk lagi, diserap ke dalam tadbir urus gaya Umno yang mengutamakan kerajaan berbanding kepentingan awam. Syaza Shukri. “DAP tahu bahawa kerajaan perpaduan akhirnya akan berhadapan dengan pengundi semula, jadi mereka mesti menunjukkan bahawa mereka tidak sekadar mengikut Perdana Menteri Anwar Ibrahim tanpa soal,” katanya kepada FMT. Awal minggu ini, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengkritik maklum balas Putrajaya terhadap dakwaan bahawa pegawai SPRM sebahagian daripada ‘mafia korporat’, menyifatkan respons itu sebagai tidak memuaskan. Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata menteri-menteri DAP akan mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat perkara itu. Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, yang juga menteri digital, pula berkata maklum balas SPRM terhadap dakwaan tersebut sekadar penafian kosong dan tidak banyak membantu memulihkan keyakinan orang awam atau pelabur. Syaza berkata DAP telah menguatkan kuasa tawar-menawarnya dalam Jemaah Menteri apabila mengkritik secara terbuka, memandangkan perdana menteri tidak berada pada kedudukan yang membolehkan beliau mengabaikan atau mengetepikan keluhan parti itu secara tertutup. Parti itu juga berada dalam kedudukan untuk bersuara dengan yakin, katanya, kerana mengetahui Anwar tidak akan memecat menteri-menteri DAP, memandangkan parti itu dengan 40 kerusi di Dewan Rakyat membentuk blok Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan perpaduan. “Memecat Loke (dan Gobind) akan berisiko menyebabkan kejatuhan kerajaan, krisis koalisi, dan ketidakstabilan politik lanjut yang tidak diingini oleh sesiapa pun pada ketika ini,” tambahnya. Hisommudin Bakar. Hisommudin Bakar, pengarah eksekutif di Ilham Centre, berkata kritikan terbuka DAP dan desakan untuk RCI harus dilihat sebagai penonjolan politik dan bukannya penolakan terhadap autoriti Jemaah Menteri. “Ia mesej kepada pengundi bandar dan kelas menengah bahawa DAP konsisten dalam agenda reformasi institusi,” katanya. Bagaimanapun, Hisommudin percaya pendekatan sedemikian boleh menjejaskan perpaduan dalam kerajaan. “Semuanya bergantung kepada bagaimana isu ini diselesaikan dalam Jemaah Menteri, dan sama ada selepas keputusan dibuat, setiap ahli Jemaah Menteri akan kembali seia sekata.”

Share this post: