Krisis Timur Tengah: Malaysia sedia evakuasi pelajar jika perlu
2026-03-07 - 16:13
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata, KPT bersama Kementerian Luar sentiasa pantau rapat keadaan di negara Timur Tengah yang terlibat krisis agar keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terjamin. MELAKA: Kerajaan bersedia mengaktifkan pelan evakuasi bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah sekiranya situasi semasa di rantau berkenaan memerlukan tindakan segera. Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata, pelan tersebut telahpun disediakan lebih awal dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa bergantung kepada perkembangan semasa. Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Kementerian Luar melalui Wisma Putra sentiasa memantau rapat keadaan di negara terlibat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk pelajar, sentiasa terjamin. “Pelajar Malaysia yang berada di negara berkenaan juga telah dikenal pasti serta dihubungi melalui wakil Malaysia di luar negara bagi memberi nasihat dan panduan sekiranya keadaan memerlukan mereka dipindahkan. “Ibu bapa yang ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai anak-anak mereka boleh menyemak dengan Wisma Putra,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar bersama Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini. Adam Adli berkata, setakat ini kementeriannya mengenal pasti kira-kira 1,762 pelajar Malaysia berada di Jordan, diikuti di Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (9), Iran (6) dan Qatar (3). Beliau juga turut menasihatkan pelajar yang baru menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah supaya menangguhkan perjalanan buat sementara waktu berikutan keadaan semasa yang masih belum kondusif. Ini termasuklah gangguan penerbangan ke beberapa negara di rantau itu yang turut menjejaskan pergerakan ke destinasi berkenaan, tambahnya. “Bagi pelajar yang bakal ke sana, mungkin baru mendapat tawaran atau akan memulakan pengajian, situasi ini belum begitu kondusif,” katanya. “Langkah paling selamat ketika ini ialah menangguhkan perjalanan buat sementara waktu serta sentiasa berhubung dengan universiti masing-masing dan KPT bagi mendapatkan kemas kini terkini.”