TheMalaysiaTime

Krisis tenaga meruncing, Thailand tamat kawalan harga diesel

2026-03-24 - 10:41

Harga bahan api domestik di Thailand meningkat berkuat kuasa 5 pagi pada 24 Mac, dengan harga petrol naik sebanyak 2 baht seliter dan diesel sebanyak 1.80 baht seliter. (Gambar EPA Images) BANGKOK: Kerajaan Thailand tidak lagi mampu mengekalkan kawalan harga diesel di tengah-tengah krisis tenaga global yang berlarutan, menurut Timbalan Perdana Menteri Ekkanit Nitithanprapas. Ekkanit yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan terpaksa membenarkan harga diesel bergerak mengikut mekanisme pasaran, sambil memberi amaran bahawa pengekalan had siling harga boleh mengakibatkan aktiviti menyorok bekalan dan kekurangan bahan api. Beliau berkata, kerajaan sebaliknya akan memberikan tumpuan kepada langkah bantuan bersasar. “Jika kita terus menetapkan harga, aktiviti menyorok bekalan pasti akan berlaku. Oleh itu, kita mesti membenarkan harga mengikut mekanisme pasaran, sambil menguruskan kesan terhadap kumpulan rentan, serta sektor pengangkutan dan pertanian,” katanya dalam program wawancara secara langsung di Channel 3 pada Selasa. Ekkanit menambah, walaupun kerajaan tidak boleh melawan kuasa pasaran, pihaknya akan menggunakan Dana Bahan Api Minyak bagi mengelakkan harga meningkat terlalu mendadak. “Kita tidak boleh melawan pasaran; jika kita cuba, kita akan kalah. Pelarasan harga secara beransur-ansur juga tidak berkesan. Dalam krisis tenaga yang ketara seperti ini, semua sektor mesti menyesuaikan diri. “Kami akan berusaha mengurangkan kesan kepada orang awam, terutama mereka yang paling terjejas, tetapi harga bahan api akhirnya mesti mencerminkan keadaan pasaran,” katanya. Beliau berkata, kerajaan harus bertindak pantas terhadap perubahan keadaan, sambil menyatakan bahawa negara pengeluar minyak juga telah menyelaraskan dasar mereka. Apabila ditanya sama ada harga diesel boleh melebihi 33 baht seliter, beliau berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan memandangkan keadaan pasaran global semasa. “Sudah tentu. Begitulah cara pasaran global berfungsi. Bagaimana kita boleh menetapkan harga? Kita mesti membenarkannya bergerak sewajarnya. “Pada masa sama, kita mesti menguruskan penggunaan bahan api dalam sektor pertanian, termasuk menyelaraskan daripada B10 kepada B20,” katanya. Harga bahan api domestik meningkat berkuat kuasa 5 pagi pada 24 Mac, dengan harga petrol naik sebanyak 2 baht seliter dan diesel sebanyak 1.80 baht seliter (100 baht = RM12.15). Tinjauan di stesen minyak PTT menunjukkan petrol Gasohol 95 berharga 35.05 baht (RM4.26) seliter dan Gasohol 91 pada 34.68 baht (RM4.21) seliter, manakala Diesel B7 berada pada paras 32.94 baht (RM4.00) seliter.

Share this post: