TheMalaysiaTime

Krisis Asia Barat: Bekalan elektrik negara kekal stabil, kata Fadillah

2026-03-15 - 11:13

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof juga menggalakkan pengguna mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap bagi membantu mengurangkan bil bulanan serta menyokong kelestarian sistem tenaga negara. PETALING JAYA: Sistem bekalan elektrik negara kekal stabil dan terjamin walaupun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran awal bulan ini. Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata perkembangan itu setakat ini tidak menjejaskan tahap ketersediaan bekalan elektrik negara. Beliau yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata sistem penjanaan elektrik di Semenanjung menggunakan sekitar 40% hingga 45% gas asli sebagai bahan api utama. Fadillah Yusof. Katanya, sebahagian besar bekalan gas tersebut diperoleh daripada sumber domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Thailand–Malaysia Joint Development Area (JDA). “Sehubungan itu, bekalan gas dalam negara pada masa ini adalah stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa,” katanya dalam kenyataan. Berhubung tarif elektrik, Fadillah berkata kerajaan komited melindungi pengguna daripada kesan kenaikan kos bahan api global melalui kerangka Incentive Based Regulation (IBR) bagi tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dari 2025 hingga 2027. Katanya, sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) setiap bulan berdasarkan pergerakan kos sebenar di pasaran. Menurutnya, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600kWj sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api. “Ini bermakna sekitar 85% pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa,” katanya. Beliau berkata kadar AFA ketika ini diunjurkan kekal dalam bentuk rebat sehingga April 2026, namun berpotensi berubah sekiranya kos bahan api global terus meningkat. Fadillah berkata sejak Julai tahun lalu kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM2.506 bilion melalui rebat bil elektrik kepada pengguna sebagai insentif kecekapan tenaga. Beliau turut menggalakkan pengguna mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap bagi membantu mengurangkan bil bulanan serta menyokong kelestarian sistem tenaga negara.

Share this post: