TheMalaysiaTime

KPM nafi sesi libat urus diadakan di gereja

2026-03-13 - 11:34

Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad nafi dakwaan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan tadika swasta zon utara diadakan di sebuah gereja. PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bahawa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan tadika swasta zon utara yang berlangsung semalam diadakan di sebuah gereja, seperti yang tular di media sosial. Kesal dengan dakwaan tidak berasas itu, Ketua Pengarah Pendidikan Azam Ahmad berkata sesi itu dilaksanakan di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang berdaftar dengan kementerian. Pemilihan lokasi dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kemudahan dan fasiliti yang tersedia selain bertujuan mengetengahkan peranan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan swasta negara. “Pemilihan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption juga membuktikan sinergi yang baik antara KPM dan pihak penyedia pendidikan swasta,” menurut kenyataan. Beliau berkata dakwaan yang tular itu jelas berniat jahat dan cubaan menimbulkan kekeliruan dan memburukkan imej kementerian. “Mengambil ibrah bulan Ramadan, KPM menyeru semua pihak untuk meningkatkan amal ibadah dan tidak terjebak dalam perbuatan fitnah,” katanya.

Share this post: