TheMalaysiaTime

KPDN Johor siasat pemilik kereta isi RON95 dalam tong plastik

2026-03-24 - 02:10

Video tular menunjukkan seorang wanita dan lelaki didakwa mengisi RON95 bersubsidi ke dalam tong plastik di stesen minyak Petronas di Skudai, Johor. PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang menyiasat seorang wanita serta lelaki yang didakwa mengisi RON95 bersubsidi dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di Skudai, Johor. Pengarah KPDN Johor, Saslinda Pornomo, berkata pihaknya telah memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu serta meneliti rekod transaksi bagi tujuan pengesahan. Menurutnya, hasil semakan awal mendapati satu transaksi untuk mengisi RON95 dalam tangki kenderaan dan satu lagi ke dalam tong plastik di bahagian but kenderaan dengan kuantiti melebihi had dibenarkan. “KPDN Johor akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan dan memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan pengawal bekalan. Individu yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak lebih RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Terdahulu, satu video tular menunjukkan seorang wanita dan lelaki didakwa mengisi RON95 hampir RM230 di stesen minyak Petronas di Skudai. Mereka dilihat mengisi petrol bersubsidi itu ke dalam tong minyak sebelum mengisi tangki kereta. Semalam, Kementerian Kewangan dilaporkan berkata, ia akan menyekat MyKad pemilik kereta terbabit kerana menyalahgunakan bahan api bersubsidi.

Share this post: