Kos naik hingga 30%, pengusaha restoran terkesan dengan isu global
2026-03-26 - 02:51
Presma berkata, walaupun berdepan kenaikan kos operasi, pengusaha berusaha kekalkan harga makanan pada tahap berpatutan melalui beberapa langkah termasuk serap sebahagian kos. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mengakui turut terkesan dengan kenaikan kos operasi industri makanan dan minuman, dengan peningkatan harga barangan dianggarkan antara 10% hingga 30% susulan tekanan ekonomi global. Presidennya, Mohamed Mosin Abdul Razak berkata, situasi tersebut dipengaruhi pelbagai faktor termasuk gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos logistik serta ketidaktentuan ekonomi antarabangsa yang masih berlarutan. Menurutnya, kenaikan harga bukan sahaja melibatkan bahan mentah seperti ayam, sayur-sayuran dan bahan import tertentu, malah turut membabitkan bahan bukan mentah termasuk pembungkusan, gas memasak dan kos utiliti yang menunjukkan trend peningkatan ketara. “Kenaikan yang direkodkan adalah berbeza mengikut kategori barangan, namun secara purata dianggarkan antara 10% hingga 30%. Trend ini mula dirasai sejak pertengahan tahun lalu dan berterusan sehingga kini,” katanya. Katanya, keadaan dijangka terus mencabar berikutan faktor geopolitik dan turun naik kadar tukaran mata wang yang memberi kesan langsung kepada kos import. “Kita menjangkakan akan ada kenaikan lagi berdasarkan keadaan geopolitik,” katanya. Sebelum ini, tular di media sosial pengusaha makanan memaklumkan rancangan menaikkan harga susulan kos operasi yang turut meningkat akibat ketidaktentuan global semasa. Bagaimanapun, Mohamed Mosin berkata, walaupun berdepan kenaikan kos operasi, pihaknya berusaha mengekalkan harga makanan pada tahap berpatutan melalui beberapa langkah termasuk menyerap sebahagian kos bagi mengelakkan beban kepada pengguna, selain mengoptimumkan operasi serta mengurangkan pembaziran. Selain itu, katanya, pengusaha turut mengambil inisiatif mencari pembekal alternatif dengan harga lebih kompetitif serta menawarkan menu dan saiz hidangan yang lebih fleksibel bagi menyesuaikan dengan kemampuan pengguna. “Namun begitu, jika tekanan kos berterusan, pelarasan harga secara minimum mungkin tidak dapat dielakkan,” katanya. Sehubungan itu, Mohamed Mosin memberitahu FMT, Presma berharap kerajaan dapat memperkenalkan mekanisme bagi menstabilkan harga bahan mentah utama serta menyediakan subsidi bersasar atau insentif bagi industri makanan dan minuman. “Kerajaan melalui agensi berkaitan harus memperkukuh rantaian bekalan domestik bagi mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya sambil menegaskan pihaknya kini mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.