Kontroversi kuil Hindu: Aktivis akan didakwa bawah Akta Hasutan
2026-03-16 - 08:34
Arun Dorasamy berkata, beliau telah beri keterangan kepada polis tiga minggu lepas. PETALING JAYA: Aktivis Arun Dorasamy berkata, beliau akan didakwa di bawah Akta Hasutan di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, pagi esok. Beliau menyatakan perkara itu dalam satu kemas kini ringkas status WhatsApp, sebelum menjelaskan kepada FMT bahawa ia susulan laporan yang dibuat terhadapnya berhubung kenyataannya ‘mempertahankan kuil (Hindu) di Dengkil dan Rawang’. “Saya telah beri keterangan (kepada polis) tiga minggu lepas, dan mereka telah diarahkan untuk dakwa saya esok,” katanya. Pada 2 Mac lepas, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata, lapan laporan polis telah dibuat terhadap Arun atas peranannya dalam kontroversi membabitkan kuil di Rawang. Shazeli berkata, laporan tersebut adalah berkaitan dengan ‘rasa tidak puas hati terhadap kenyataan yang dibuatnya’ berhubung isu itu. Menurutnya, satu laporan turut dibuat oleh pihak pengurusan kuil.