Kontrak dimungkiri, syarikat katering dapat ganti rugi RM1.2 juta
2026-02-26 - 11:14
Mahkamah Tinggi putuskan BBranding & Strategy Consultancy Sdn Bhd dan pengarahnya, Choo Chee Keong, tanggung liabiliti bersama dan berasingan untuk lunaskan jumlah penghakiman kepada Ijeon Foodservice (M) Sdn Bhd. KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat katering makanan dianugerahkan ganti rugi hampir RM1.2 juta oleh Mahkamah Tinggi, berikutan kegagalan sebuah firma penjenamaan dan pemasaran serta pengarahnya untuk menyampaikan perkhidmatan yang dipersetujui dalam kontrak. Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong berkata, pengarah firma itu, Choo Chee Keong, memberikan pelbagai jaminan dan representasi yang mendorong Ijeon Foodservice (M) Sdn Bhd melantik beliau dan syarikatnya, BBranding & Strategy Consultancy Sdn Bhd. “Defendan pertama (BBranding) mengeluarkan invois untuk jumlah yang besar dan menerima pembayaran, namun gagal melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya. “Defendan kedua (Choo) pula secara berterusan memberikan gambaran palsu bahawa beliau, pasukan dan syarikatnya memiliki pengalaman serta kemampuan untuk menawarkan perkhidmatan yang dinyatakan dalam invois berkenaan.” Berikutan pemungkiran kontrak tersebut, Gan mengarahkan BBranding membayar RM607,650 kepada Ijeon, memutuskan bahawa perbelanjaan yang ditanggung oleh syarikat katering itu benar-benar terbazir. Beliau juga meluluskan tuntutan berjumlah RM162,697.45 untuk kos pembayaran gaji, serta RM426,313.73 yang dibelanjakan untuk produk makanan dan pembayaran kepada kontraktor pihak ketiga. Justeru, Gan memutuskan bahawa BBranding dan Choo mempunyai liabiliti bersama dan berasingan untuk melunaskan jumlah penghakiman tersebut kepada pihak plaintif. Ketika wabak Covid-19, Ijeon merancang melebarkan sayap perniagaannya dengan menembusi pasaran produk makanan sejuk beku segera. Susulan itu, Pengarah Ijeon Tan Ying Ying diperkenalkan dengan Choo, yang mendakwa dirinya pakar pemasaran dan penjenamaan. Ijeon kemudiannya bersetuju melantik Choo bagi mengendalikan penjenamaan dan pemasaran untuk projek baharu berkenaan, yang disasarkan untuk dilancarkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina pada 2022. Sehubungan itu, pihak Ijeon telah menerima dan menjelaskan bayaran invois berjumlah RM607,650. Bagaimanapun, saman itu difailkan selepas Choo dan BBranding gagal mengambil tindakan segera untuk menyempurnakan tugasan, walaupun telah dibekalkan dengan pelbagai maklumat dan dokumen secara berterusan bagi tujuan pelancaran projek tersebut. Ijeon diwakili barisan peguam yang terdiri daripada Ahmad Shahrizal Abdul Aziz, Chong Lip Yi, dan Nathaniel Low, sementara peguam Alvin Tan dan Rosamirah Insyirah Zamri mewakili defendan.