TheMalaysiaTime

Konflik Timur Tengah, pakej rangsangan ekonomi mungkin diperkenal, kata Kamil

2026-03-28 - 11:30

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Abdul Munim, berkata kerajaan sentiasa memantau kesan perang Timur Tengah bagi perancangan inisiatif termasuk kemungkinan pakej rangsangan ekonomi. PETALING JAYA: Kerajaan mungkin memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi seperti pernah dilaksanakan ketika berdepan pandemik Covid-19 bagi meringankan beban rakyat sekiranya konflik Timur Tengah berterusan. Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Abdul Munim, berkata keputusan itu bergantung kepada pemantauan berterusan kerajaan terhadap perkembangan konflik dan kesannya kepada ekonomi negara. “Ketika ini setiap minggu kerajaan bermesyuarat dan keadaan semasa dipantau bagi merancang inisiatif termasuk kemungkinan memperkenalkan pakej rangsangan untuk membantu kelangsungan ekonomi rakyat negara kita,” katanya, menurut Berita Harian. Putrajaya pernah memperuntukkan sejumlah RM530 bilion merangkumi lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan bagi menangani pandemik Covid-19, termasuk RM83 bilion suntikan fiskal secara langsung. Kamil ketika mengulas lanjut, berkata kerajaan juga masih mampu bertahan ketika ini hasil langkah penjimatan dan penstrukturan semula subsidi yang dilaksanakan sebelum ini. “Lonjakan kos peruntukan subsidi bukan kecil iaitu daripada RM700 juta kepada RM4 bilion sebulan,” katanya. Muhammad Kamil yang juga ketua Pemuda PKR, berkata langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang minggu depan bagi membincangkan impak krisis global adalah wajar.

Share this post: