TheMalaysiaTime

Konflik Asia Barat: Tiada pakej rangsangan ekonomi ketika ini, kata menteri

2026-03-16 - 04:14

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata pendekatan semasa kerajaan adalah fokus langkah jangka pendek untuk memastikan kestabilan ekonomi dan memantau sebarang perkembangan boleh memberi impak kepada negara. KUALA LUMPUR: Tiada pakej rangsangan ekonomi akan diperkenalkan buat masa ini susulan konflik di Asia Barat, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan. Beliau berkata, pendekatan semasa kerajaan adalah memberi tumpuan kepada langkah jangka pendek untuk memastikan kestabilan ekonomi dan memantau sebarang perkembangan yang boleh memberi impak kepada negara. “Saya rasa, yang penting kita belum mengetahui sama ada krisis di Timur Tengah akan berlanjutan atau tidak. Kalau ia tidak berlanjutan, saya rasa tiada keperluan untuk melaksanakan sesuatu seperti itu (pakej rangsangan ekonomi). “Buat masa sekarang, pendekatan kita ialah melihat dari segi jangka pendek, memastikan kestabilan yang ada,” katanya selepas melancarkan Hari Penglibatan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) di sini. Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini. Amir Hamzah berkata, kerajaan turut mengambil kira perjalanan rakyat ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan permintaan lebih tinggi terhadap bahan api. Jelasnya, syarikat minyak mempunyai pengalaman menguruskan situasi itu setiap tahun dengan mengambil langkah proaktif, termasuk menambah bekalan dan menempatkan lebih banyak tangki simpanan di kawasan mencatatkan penggunaan tinggi bagi memastikan bekalan tidak terputus. “Pendekatan kerajaan adalah untuk jangka sederhana dan jangka panjang. Kita bekerjasama dengan agensi di bawah kerajaan untuk memastikan bekalan kekal stabil. “Petronas dan syarikat minyak serta tenaga lain akan terus melihat untuk menambah stok yang ada bagi menggantikan bekalan digunakan dalam negara.” Buat masa ini, katanya, pendekatan kerajaan untuk membantu rakyat, dengan orang ramai serta syarikat tempatan digesa mengambil pendekatan berwaspada. “Jika ada cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga atau barangan lain yang mungkin terkesan dalam situasi ini, ia akan membantu. “Kita harus faham, impak ini bukan sahaja terhadap Malaysia, malah di seluruh dunia.” Sebelum ini, Amir Hamzah dilaporkan berkata, kerajaan menanggung subsidi bahan api sebanyak RM3.2 bilion sebulan demi kesejahteraan rakyat. Subsidi kerajaan bagi petrol meningkat kepada RM2 bilion, manakala diesel sebanyak RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini. Konflik di Asia Barat bermula 28 Feb lalu, apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudiannya dibalas Tehran melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau itu. Ketegangan itu turut menjejaskan pasaran tenaga global, apabila laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20% bekalan minyak dunia terjejas susulan ancaman dan tindakan Iran menghalang laluan kapal di kawasan terbabit. Situasi berkenaan menyebabkan harga minyak dunia tidak menentu susulan kebimbangan mengenai gangguan terhadap bekalan tenaga global.

Share this post: