Konflik Asia Barat: Malaysia tegas pentingnya gencatan senjata
2026-03-25 - 09:50
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata kepentingan dialog dan diplomasi dalam meredakan ketegangan untuk menghentikan perang di Asia Barat amat diperlukan ketika ini. PETALING JAYA: Malaysia telah menyatakan ketegasan berhubung pentingnya pelaksanaan gencatan senjata menyeluruh di Asia Barat susulan perkembangan terkini yang semakin meruncing di rantau itu akibat perang Iran. Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata perkara itu disuarakan menerusi perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi semalam sambil menekankan pentingnya dialog dan diplomasi dalam meredakan ketegangan ketika ini. “Kita menyatakan hasrat Malaysia agar gencatan senjata yang menyeluruh dan kekal dilaksanakan segera. “Kepentingan dialog dan diplomasi dalam meredakan ketegangan untuk menghentikan perang, amat diperlukan ketika ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook. Mohamad berkata, Malaysia juga memberi perhatian serius terhadap kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz demi kestabilan ekonomi dan tenaga global. “Malaysia akan terus berperanan aktif dalam usaha-usaha diplomasi bagi mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau,” katanya.