Konflik Asia Barat jejas rantaian makanan, Mat Sabu seru rakyat bercucuk tanam
2026-03-29 - 03:40
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengajak rakyat memanfaatkan ruang walaupun kecil di rumah untuk bercucuk tanam. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Rakyat diseru memanfaatkan ruang yang ada di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan luar. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat ketika ini bukan sekadar isu luar negara, sebaliknya turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global. “Kita mungkin tak nampak secara langsung, tapi impaknya boleh sampai ke meja makan kita. “Sebab itu Bang Mat nak ajak semua, kalau ada ruang walaupun kecil di rumah, tanamlah apa yang mampu. Cili, sayur, ulam, sedikit-sebanyak boleh bantu kurangkan kebergantungan dan dalam masa sama jadi satu usaha yang bermanfaat untuk keluarga,” tulisnya di Facebook. Mohamad atau Mat Sabu berkata, usaha itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos sara hidup, malah menjadi aktiviti bermanfaat untuk keluarga. Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh sistem makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi dan akses kepada rakyat sentiasa terjamin. “Ini tanggungjawab yang sedang dan akan terus kita laksanakan. Yang penting, kita sama-sama ambil peranan. Mulakan dengan apa yang ada. Insya-Allah, usaha kecil hari ini akan jadi kekuatan besar untuk masa depan,” katanya. Pada 13 Mac lalu kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun ini walaupun ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat. Mohamad berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kedudukan bekalan makanan kerana keadaan semasa masih stabil.