TheMalaysiaTime

Komponen Simpanan aset strategik tangani ancaman hibrid, titah Raja Muda Perlis

2026-03-14 - 04:23

Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Perlis 2026. (Gambar Rejimen 504 Askar Wataniah) PETALING JAYA: Komponen Simpanan kini menjadi aset strategik Tentera Darat Malaysia dalam menghadapi ancaman hibrid yang semakin kompleks serta dinamika keselamatan global yang kian mencabar. Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah peranan komponen itu tidak lagi terhad kepada sokongan konvensional, sebaliknya turut melibatkan integrasi kepakaran profesional daripada sektor awam. Menurut baginda, kepakaran seperti teknologi, siber, logistik dan perubatan mampu menjadi ‘force multiplier’ atau pengganda kekuatan yang penting dalam mempertahankan kedaulatan negara. “Integrasi kepakaran profesional sivil serta mobiliti pantas di peringkat akar umbi akan memperkukuh keupayaan Tentera Darat dalam menghadapi cabaran peperangan moden yang semakin kompleks,” titah baginda. Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Negeri Perlis 2026. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri-puteri baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Noor Azman Abdul Rahman dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Mohd Zaini Hashim. Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah, pembangunan keupayaan Tentera Darat kini berteraskan prinsip serbaguna dan fleksibel bagi menghadapi persekitaran operasi yang sentiasa berubah. Strategi itu, menurut baginda, dirangka bagi menangani ancaman peperangan hibrid, situasi ‘grey zone’ serta perkembangan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI). “Keupayaan ini bukan sahaja penting dalam konflik moden, malah membantu Tentera Darat bertindak pantas dalam mengurus krisis kemanusiaan dan bencana alam yang semakin kerap berlaku,” titah baginda.

Share this post: