Komen Zaid mengenai blok Borneo menghina, semberono, kata aktivis Sarawak
2026-03-04 - 13:43
Pengasas Saya Anak Sarawak Peter John Jaban berkata, MA63 bukan gimik politik, sebaliknya ia perjanjian terikat yang jadi asas pembentukan Malaysia. PETALING JAYA: Seorang aktivis hak asasi Sarawak membidas kenyataan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim yang mendakwa Malaysia Timur cuba ‘memperdaya dan mengawal Malaya’ melalui blok Borneo. Peter John Jaban menyifatkan kenyataan Zaid itu sebagai suatu penghinaan, semberono, serta memperkecilkan kedudukan Sabah dan Sarawak di negara ini. “Menggambarkan usaha Sabah dan Sarawak menuntut hak perlembagaan mereka sebagai rancangan untuk ‘memperdaya Malaya’ ialah sikap yang sombong, angkuh dan menyinggung perasaan,” kata pengasas Saya Anak Sarawak itu dalam kenyataan. “MA63 bukanlah gimik politik; ia perjanjian terikat yang menjadi asas pembentukan Malaysia. Menjadikannya sekadar bahan sindiran adalah satu penghinaan terhadap undang-undang, sejarah dan rakyat Malaysia Timur.” Zaid sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan penubuhan blok Borneo itu satu contoh ‘bagaimana rakyat Sabah dan Sarawak yang pintar terus memperdaya dan mengawal Malaya’. Beliau turut menuduh Sabah dan Sarawak mencabar undang-undang persekutuan dan menuntut ’30 perkara yang masih tertangguh daripada MA63′. “Mereka berkata, blok Borneo itu adalah untuk memberi mereka keseimbangan dan kelebihan berunding. Tidak, mereka sudah pun memilikinya; kini mereka mahukan kawalan,” beliau dilaporkan berkata. Baru-baru ini, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah Armizan Mohd Ali menggesa agar Sabah dan Sarawak bekerjasama untuk membentuk satu blok bersatu yang akan membantu mencorakkan kerajaan persekutuan serta memacu agenda terasnya. Sabah dan Sarawak memiliki 56 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, dengan Sabah sebanyak 25 kerusi dan Sarawak 31 kerusi. Peter berkata, Sarawak atau Sabah tidak pernah ‘memperdaya’ sesiapa kerana kedua-dua negeri itu telah membantu membentuk Malaysia sebagai rakan kongsi yang setaraf. Beliau juga berkata, blok Borneo adalah penting memandangkan parti-parti politik di Semenanjung Malaysia lebih mengutamakan ‘kepentingan Malaya’. Dalam perkembangan berasingan, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan pembentukan blok Borneo itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai satu cubaan untuk mendominasi semenanjung. Jesselton Times melaporkan Nizam berkata, blok sedemikian akan menyatukan suara Sabah dan Sarawak dalam usaha memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia Timur secara lebih teratur di Parlimen.