Klinik kecantikan haram diserbu, 15 warga asing ditahan
2026-02-04 - 02:56
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata klinik kecantikan tanpa lesen itu dipercayai milik warga China yang beroperasi sejak setahun lalu dan mengaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 15 warga asing disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial (PLS) untuk bekerja di klinik kecantikan tidak berlesen di sekitar Bukit Bintang di sini, semalam. Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata semuanya ditahan dalam Ops Dandan oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hasil aduan awam dan risikan. Beliau berkata, 18 individu diperiksa dalam operasi itu, manakala 15 warga asing ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita warga China serta dua wanita Myanmar. “Mereka disyaki menjalankan rawatan kecantikan tanpa kebenaran dan tidak memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah,” katanya dalam kenyataan. Zakaria berkata, siasatan awal mendapati pusat kecantikan yang beroperasi tanpa lesen Kementerian Kesihatan (KKM) itu menawarkan perkhidmatan rawatan muka serta badan menggunakan khidmat warga asing. Menurutnya, premis itu dipercayai milik seorang warga China yang turut menyalahgunakan pas lawatan dan beroperasi sejak setahun lalu dengan keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit. Pelbagai barangan termasuk pakaian seragam, telefon bimbit, komputer riba, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lesen perniagaan serta dokumen berkaitan syarikat turut disita. “Semua individu ditahan itu dibawa ke Pejabat Imigresen WPKL untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, sementara tiga wanita tempatan bekerja di premis itu turut diberikan notis untuk ke pejabat bagi membantu siasatan.” Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti melanggar undang-undang. “Masyarakat juga diingatkan tidak melindungi atau membantu pihak melanggar undang-undang imigresen dan menyalurkan maklumat menerusi saluran aduan rasmi Jabatan Imigresen demi kedaulatan dan keselamatan negara.”