TheMalaysiaTime

KKM jamin tiada gangguan bekalan ubat susulan konflik Asia Barat

2026-03-23 - 05:50

Fasiliti kesihatan kerajaan kini memiliki paras stok ubat antara satu hingga tiga bulan mengikut keperluan penggunaan semasa, kata Kementerian Kesihatan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa bekalan ubat-ubatan dalam negara ketika ini kekal stabil dan terkawal meskipun berdepan situasi konflik di Asia Barat. Menerusi kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa kesan konflik tersebut terhadap rantaian bekalan bagi jangka masa pendek adalah pada tahap minimum. Menurutnya, fasiliti kesihatan kerajaan kini memiliki paras stok ubat antara satu hingga tiga bulan mengikut keperluan penggunaan semasa. “Paras stok ubat fasiliti KKM disimpan antara 1 hingga 3 bulan berdasarkan keperluan penggunaan dan disokong oleh stok penimbal tambahan sehingga 2 bulan di peringkat syarikat konsesi bagi ubat-ubatan yang dibekalkan melalui konsesi logistik,” katanya. Mengulas lanjut, KKM berkata tiada sebarang peningkatan trend dikesan dalam pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) setakat semalam. Katanya, maklum balas daripada pihak industri farmaseutikal tempatan menunjukkan bahawa pengilang tempatan mempunyai stok bahan mentah sehingga 3 bulan dan produk siap sekitar 2 bulan. “Manakala pihak pengimport turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing,” katanya. Tambahnya, sebuah pasukan petugas yang terdiri daripada pemain industri farmaseutikal dan pemegang taruh berkaitan akan ditubuhkan bagi memantau dan memastikan keterjaminan bekalan, terutamanya bagi ubat-ubatan di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML).

Share this post: