KJ serah surat rayuan sertai semula Umno
2026-03-16 - 05:13
Zahid Hamidi menerima surat rayuan Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula Umno. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi menerima surat rayuan daripada bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai parti itu. Zahid menerusi Facebooknya berkata Khairy menyerahkan sendiri surat berkenaan ketika mengunjunginya pada malam ke-26 Ramadan. “Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan. “Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya. Khairy, bekas menteri yang pernah memegang pelbagai portfolio, dipecat daripada parti pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15 yang diadakan pada Disember 2022. Beliau mengkritik Zahid secara terbuka menjelang pilihan raya tersebut, terutama selepas Barisan Nasional meletakkannya bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan di Sungai Buloh. Khairy tewas dalam pertandingan itu kepada R Ramanan daripada PKR dengan perbezaan 2,693 undi. Pada 6 Mac lalu, Zahid mengumumkan parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung. Menurutnya, jemputan itu demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar Umno.