KJ minta jadi ‘anak kapal biasa’ dalam bahtera Umno
2026-03-16 - 06:54
Khairy Jamaluddin menyerahkan surat rayuan kembali ke Umno kepada Zahid Hamidi, semalam. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak meletak sebarang syarat, hajat peribadi atau permintaan untuk kembali ke parti itu. Menggunakan analogi Umno sebagai sebuah bahtera, bekas menteri itu sebaliknya meminta diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa sahaja, iaitu simbolik ahli parti tanpa sebarang jawatan. “Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan bantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas. “Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah. “Insya-Allah i’m coming home (akan kembali),” katanya di Facebook. Khairy yang dipecat pada Jan 2023, menyerahkan secara rasmi surat rayuan untuk menyertai semula Umno kepada Presiden Zahid Hamidi, semalam. Khairy, bekas menteri yang pernah memegang pelbagai portfolio, dipecat daripada parti pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15 yang diadakan pada Disember 2022. Beliau mengkritik Zahid secara terbuka menjelang pilihan raya tersebut, terutama selepas Barisan Nasional meletakkannya bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan di Sungai Buloh. Khairy tewas dalam pertandingan itu kepada R Ramanan daripada PKR dengan perbezaan 2,693 undi. Pada 6 Mac lalu, Zahid mengumumkan parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung. Menurutnya, jemputan itu demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar Umno.