TheMalaysiaTime

KJ dah pulih atau Umno dah pulih?

2026-03-17 - 23:41

Awal bulan ini atau lebih tepat 10 hari lalu FMT menyiarkan laporan bertajuk ‘Masuk semula Umno tanpa syarat, bukan kejar jawatan, kata ketua bahagian‘. Meskipun yang mengeluarkan peringatan seorang ketua Umno bahagain bukan pemimpin parti peringkat nasional, saya yakin Umno keseluruhannya yakni pemimpin dan ahli setuju dengan saranan itu. Yang menyarankan demikian Ketua Umno Tampin Mohd Isam Mohd Isa. Beliau tidak menamakan mana-mana bekas pemimpin atau ahli Umno yang mahu menyambut pelawaan Zahid Hamidi, presiden parti menyertai semula Umno. Cuma kata Isam beliau kesal mereka menentang Umno sebelum ini. Antara yang mahu kembali ke pangkuan Umno ialah Khairy Jamaluddin yang yang Isnin lalu sudah serah permohonan kepada Zahid. Hampir pasti Umno akan menerima permohonannya. Tetapi, saya rasa Isam tidak perlu risau sangat (kot?) berdasarkan apa yang KJ janjikan selepas menyerahkan permohonannya. “Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini (Umno) dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan. Cukuplah untuk saya diberi peluang menjadi seorang anak kapal biasa.” Seperti kata Isam tadi ‘mereka’ yakni bekas orang Umno pernah menentang Umno, dan tidak dinafikan KJ pernah menyerang Umno. Mungkin bagi beliau ia sekadar teguran demi kebaikan parti. Terpulang interpretasi masing-masing. Berdasarkan tegurannya pada masa lalu yang sering keras dan pedih (menurut laporan MStar 12 Juali 2018, KJ kritik Umno ‘kaw kaw’) saya kira KJ sudah berpuas hati sekarang kerana apa yang tidak disenangi dulu dalam Umno mungkin dilihatnya sudah diatasi. Jika tdak masakan beliau mahu masuk Umno semula. Ertinya Umno dah okey berbanding dulu maka KJ pun masuk Umno semula. Begitu ke? Umpamanya semasa berkempen pada PRU15 KJ walaupun bertanding atas nama Umno/BN dilapor berkata Umno sudah sesat dan beliau mahu memberishkannya. Lalu apabila KJ sekarang mahu kembali ke Umno bolehkah disimpulkan beliau sudah yakin Umno tidak lagi sesat? Lantas percaya Umno sudah tidak perlu dibersihkan kerana sudah pun bersih. Macam tu? Imbau kembali PRU15 pada Ogos 2023. KJ dipindahkan Umno (baca Zahid) dari kerusi Rembau yang selamat dan disandangnya sekian lama ke kerusi Sungai Buloh. Saya antara yang beranggapan ‘he was sent to lose’. Sesungguhnya KJ kalah. Ada pemerhati pula yakin KJ dikeluarkan dari Rembabu supaya Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan diberi kerusi mudah untuk menang. Memang pun Tok Mat memang. Itu kisah lama. Sekarang nampaknya bagi KJ dan Zahid ‘all is forgiven’. Sesuai semangat Ramadan. Dan maaf walaupun Syawal belum tiba. Sekarang KJ selaku anak kapal biasa akan membantu mengetatkan jika ada papan yang longgar dalam bahtera bangsa (yakni Umno). “Jika ada paku yang perlu dipalu saya akan bantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk saya akan pastikan ia terkunci kemas,” ikrarnya. Ikrar itu pada hemat saya ‘is good for Umno’. Kata Yusri Ibrahim ketua penyelidik Ilham Centre: “Secara umumnya saya berpandangan kemasukan semula KJ berpotensi memberi nilai tambah yang bermakna kepada Umno.” Menurut beliau, dalam tinjauan di lapangan muktakhir ini khusus dalam segmen pengundi muda Melayu ‘KJ antara susuk yang popular’. Tidak mungkin Zahid tidak tahu itu semua. Lalu menerima kembali KJ (secara teknikal KJ belum diterima kerana permohonannya sedang diteliti oleh jawatnakuasa dipengerusikan Naib Presiden Umno Khaled Nordin. Ini sekadar formaliti. ‘So it’s a win win situation’ untuk Umno dan KJ. Orang poltik memang sukan cakap mengneai situasi menang menang. Pun begitu seorang bekas aktivis Umno berpendapat ‘Zahid berani jemput masuk yang keluar Umno sebab MKT Umno setuju pemilihan Umno (yang sepatutnya diadakan Mac tahun ini) ditangguh sehingga selepas PRU16. Zahid diihat lebih yakin sekarang kerana kedudukannya sebagai presiden adalah ‘selamat’. Kata beliau lagi: “Tanpa ancaman pertandingan jawatan dalam masa terdekat beliau mempunyai ruang untuk membawa masuk kembali tokoh-tokoh besar tanpa bimbang akan dicabar dari dalam pada tempoh kritikal ini.” Pada hemat saya kalau pun pemilihan parti diadakan tahun ini, KJ tidak akan menggigit tangan yang membelainya. Lagipun selaku ‘ahli baru’ rasanya beliau tidak layak untuk bertanding. Wallahuaklam. Kedudukan atau jawatan paling tinggi KJ dalam Umno ialah ketua Pemuda. Beliau tidak pernah cuba mendapatkan jawatan naib presiden. Sebaliknya mencabar Zahid untuk jawatan presiden pada pemilihan Umno 2018. Turut bertanding untuk jawatan itu Tengku Razaleigh Hamzah. Zahid menang. Ada pemerhati politik berpendapat Ku Li kacau daun kerana mereka percaya KJ akan menang dalam pertandigan satu lawan satu. Namun, ada juga pemerhati lain berpandangan sebaliknya. Bagi mereka KJ yang kacau daun. Saya sambung apa yang dikata Yusri orang kuat Ilham Centre mengenai penyertaan semula KJ dalam Umno. Menurut beliau populariti KJ rentas segmen termasuk anak muda non-partisan. “Bahkan ramai juga menamakan beliau sebagai calon PM Malaysia pada masa hadapan,” kata Yusri. Sebenarnya cakap cakap pasal KJ ‘the future prime minister’ sudah lama kedengaran. Dan naiflah kita jika tidak percaya KJ sendiri ada simpan cita-cita itu. Tetapi, pada situasi sekarang, kata kunci kenyataan Yusri tadi ialah ‘pada masa hadapan’. Betul. Namun, untuk KJ jadi PM, Umno mesti menang PRU terlebih dahulu atau setidak-tidaknya memungut jumlah kerusi terbanyak antara parti bertanding, dan beliau pula mestilah pegang jawatan presiden Umno pada waktu itu. Bagaimanapun, buat masa ini biarlah KJ sebagai anak kapal biasa lakukan apa yang beliau kata nak lakukan. Seperkara lagi. ‘Now that he’s back or on the way back to Umno’, apa akan jadi dengan podcast dikendalikan bersama Shahril Hamdan? Hentikan atau kekalkan? Kalau kekal tentunya podcast tidak dilihat lagi sebagai ‘neutral’. Kenalah partisan – memihak Umno. Setuju? Atau tegur berlapik dalam usaha si anak kapal biasa memastikan bahtera tidak dimasuki air? Jika Shahril juga masuk Umno, podcast mungkin ditukar nama kerana beliau dan KJ sememangnya keluar (Umno) hanya sekejap. Barangkali podcast dinamakan ‘Dari Dalam’ ‘Dalam dalam’ atau podcast ‘masuk semula’. Jika ada banyak masa lapang untuk terus jadi podcasterlah. Walaupun dah aktif semula politik parti. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: