Kira-kira 140 askar AS cedera dalam serangan Iran, kata Pentagon
2026-03-10 - 23:54
Ketua Pentagon, Pete Hegseth, berkata serangan AS terhadap Iran semakin dipergiat, manakala jumlah dron dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran berkurangan secara mendadak. (Gambar EPA Images) WASHINGTON: Kira-kira 140 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) cedera dalam serangan sejak permulaan perang dengan Iran, menurut kenyataan Pentagon pada Selasa. “Sebahagian besar daripada kecederaan ini adalah ringan, dan 108 anggota perkhidmatan telah kembali bertugas,” kata jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan. “Lapan anggota perkhidmatan pula cedera parah dan sedang menerima penjagaan perubatan,” tambahnya Pihak tentera AS sebelum ini menyatakan bahawa tujuh anggota tentera AS turut terkorban dalam serangan Iran pada awal konflik tersebut — enam di Kuwait dan seorang di Arab Saudi. Tentera AS dan Israel melancarkan kempen serangan udara besar-besaran terhadap Iran pada 28 Feb, manakala Tehran bertindak balas dengan gelombang peluru berpandu dan dron yang menyasarkan negara-negara di rantau tersebut yang menempatkan pasukan atau pangkalan AS. Ketua Pentagon, Pete Hegseth, berkata serangan AS terhadap Iran semakin dipergiat, manakala jumlah dron dan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran berkurangan secara mendadak.