Ketua Pentagon tak tolak kemungkinan kewujudan makhluk asing
2026-02-24 - 11:54
Setiausaha Perang AS Pete Hegseth berkata beliau tidak pernah membayangkan penerbitan fail mengenai hidupan luar angkasa akan menjadi sebahagian tugasnya sebagai ketua Pentagon. (Gambar EPA Images) WASHINGTON: Setiausaha Perang Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth pada Selasa tidak menolak kemungkinan kewujudan makhluk asing sambil menyatakan maklumat khusus akan didedahkan selepas jabatannya menerbitkan data berkaitan objek terbang tidak dikenal pasti (UFO), lapor Sputnik/RIA Novosti. “Kita akan lihat. Saya akan buat semakan dan mengetahuinya,” kata Hegseth ketika ditanya sama ada makhluk asing wujud. Menurutnya, beliau tidak pernah membayangkan penerbitan fail mengenai hidupan luar angkasa akan menjadi sebahagian tugasnya sebagai ketua Pentagon. Beliau berkata, kakitangan jabatan itu mula menjalankan tugas berkaitan isu berkenaan, namun belum dapat dipastikan tempoh yang diperlukan. Terdahulu, bekas presiden, Barack Obama dalam temu bual bersama hos audio siar AS, Brian Cohen pada bulan ini mengakui beliau percaya makhluk asing itu adalah nyata, tetapi tidak pernah melihatnya sendiri. Beliau kemudian menjelaskan sepanjang tempoh pentadbirannya, beliau tidak melihat sebarang bukti mengenai hubungan dengan makhluk asing. Presiden AS, Donald Trump, berkata pendahulunya telah mendedahkan maklumat sulit, selain berjanji untuk menyiarkan maklumat Pentagon mengenai hidupan luar angkasa dan UFO.