TheMalaysiaTime

Ketua pembangkang: Hamzah ikut suara majoriti

2026-03-15 - 12:53

Kedudukan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang menjadi persoalan selepas beliau dipecat Bersatu. PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, berkata beliau akan mengikut suara majoriti Ahli Parlimen pembangkang berhubung peranan ketua pembangkang. Hamzah mengingatkan ketua pembangkang memerlukan sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang, bahkan memerlukan kerjasama semua wakil rakyat berkenaan. “Jadi kalau ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak mahu saya lagi menjadi ketua pembangkang, saya ikut sahaja kerana itu adalah suara majoriti,” katanya, lapor Utusan Malaysia. Hamzah berkata perkara paling penting ialah memastikan blok pembangkang terus bersatu dan memainkan peranan berkesan di Parlimen. Pengganti Hamzah akan diumumkan hujung bulan ini, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat tertinggi gabungan, semalam. Samsuri berkata PN telah mempunyai calon pengganti Hamzah namun masih ada beberapa proses perlu dilalui di peringkat parti. Kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang menjadi persoalan selepas beliau dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis parti itu dan dakwaan mencabar Presiden Muhyiddin Yassin. Mesyuarat PN pada 19 Feb memutuskan PAS mengambilalih jawatan itu. Bagaimanapun, pada 2 Mac, ketua whip Bersatu ketika itu, Ronald Kiandee, mengesahkan kandungan surat yang dihantar kepada Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, menyatakan majoriti Ahli Parlimen Bersatu menyokong Hamzah dikekalkan sebagai ketua pembangkang. Hamzah dilantik sebagai ketua pembangkang pada 2022 selepas kerajaan perpaduan dibentuk, susulan cadangan oleh PAS, meskipun Muhyiddin memegang jawatan pengerusi PN ketika itu. Penganalisis politik berkata PAS tidak lagi boleh ‘mengelak’ daripada menamakan Ahli Parlimennya sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Hamzah. Kali terakhir PAS memegang jawatan ketua pembangkang adalah melalui Presiden Hadi Awang, yang menyandangnya dari 2002 hingga 2004.

Share this post: