Ketua Bersatu Tawau, 16 AJK keluar parti
2026-03-01 - 00:04
Lim Ting Khai (tengah) ketika mengumumkan keputusan beliau dan 17 ahli jawatankuasa bahagian Bersatu Tawau keluar parti, semalam. PETALING JAYA: Seramai 17 ahli jawatankuasa bahagian Bersatu Tawau, termasuk ketuanya, mengumumkan keluar parti semalam atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan presiden parti, Muhyiddin Yassin. Bekas ketua bahagian dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Lim Ting Khai, berkata 17 daripada 23 ahli jawatankuasa membuat keputusan meninggalkan Bersatu susulan kemelut dalaman yang berpanjangan serta kegagalan parti mengurus perbezaan pandangan. Beliau berkata mereka juga membantah keras pemecatan bekas timbalan presiden, Hamzah Zainudin, yang disifatkan sebagai tidak mencerminkan semangat demokrasi dan mengecewakan ahli parti. “Tindakan ini mencerminkan pendirian majoriti kepimpinan bahagian yang tidak lagi yakin dengan hala tuju semasa parti,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook. Pengunduran Lim menyusul selepas beberapa ketua bahagian lain meletak jawatan susulan pemecatan Hamzah dan peningkatan rasa tidak puas hati terhadap Muhyiddin. Walaupun terdapat dakwaan bahagian-bahagian itu terbubar susulan peletakan jawatan berkenaan, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, berkata tindakan mereka tidak menjejaskan kewujudan bahagian terbabit. Menurutnya, parti telah memulakan proses penstrukturan semula bagi bahagian dan sayap parti yang terjejas akibat peletakan jawatan tersebut.