TheMalaysiaTime

Keterangan bekas pengarah SRC International banyak khabar angin, kata peguam

2026-03-04 - 10:13

Peguam kanan Shafee Abdullah (kiiri) beritahu Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak boleh diterima. KUALA LUMPUR: Peguam Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa keterangan bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebahagian besarnya adalah khabar angin dan tidak boleh diterima kerana dakwaan utama yang dikaitkan dengan defendan yang tidak hadir, Nik Faisal Ariff Kamil tidak dapat disokong. Mewakili Najib Razak dalam saman sivil yang difailkan oleh SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, Shafee ketika sesi soal balas terhadap Shahrol, berkata perbualan beliau yang didakwa berlaku dengan Nik Faisal tidak dapat disahkan. Shafee: Nik Faisal, sudah jelas tidak berada di negara ini. Shahrol: Betul. Shafee: Jadi, apa yang anda nyatakan – bahawa Nik Faisal sampaikan maklumat tertentu kepada anda dan kepada lembaga pengarah – adalah kenyataan yang tidak dapat disahkan oleh mahkamah daripada Nik Faisal. Adakah itu betul? Shahrol: Betul. Shafee berhujah bahawa dakwaan Shahrol, khususnya yang mencadangkan Nik Faisal menyampaikan perkara yang dikatakan berasal daripada Najib, merupakan khabar angin berganda, sekali gus menjadikan ia tidak boleh diterima di mahkamah. Ditanya sama ada beliau cuba mengesan Nik Faisal, Shahrol mengakui tidak berbuat demikian, walaupun mengakui bahawa input daripada bekas CEO itu boleh menyokong penjelasannya. Shafee berhujah bahawa tanpa kehadiran Nik Faisal, pergantungan Shahrol terhadap kenyataan yang didakwa daripada Nik Faisal tidak boleh dipertahankan. Dalam pernyataan saksinya, Shahrol mengaitkan banyak kenyataan kepada Nik Faisal, dengan mendakwa bahawa Nik Faisal menyampaikan maklumat tertentu kepadanya dan lembaga pengarah SRC International. Beliau berkata beliau terpaksa mengikut arahan Nik Faisal kerana Nik Faisal bertindak sebagai proksi Najib, yang menjadi penghubung dengan pengarah-pengarah SRC serta mengendalikan akaun bank syarikat dan peribadi milik Najib. Shahrol merupakan seorang daripada enam individu yang dinamakan Najib sebagai pihak ketiga dalam saman yang difailkan terhadap beliau untuk mendapatkan semula RM42 juta yang didakwa diselewengkan daripada akaun syarikat tersebut. Najib menegaskan bahawa Shahrol, bersama bekas pengarah SRC International yang lain iaitu Ismee Ismail, Suboh Yassin, Azhar Osman Khairuddin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan Nik Faisal, sepatutnya berkongsi tanggungjawab terhadap sebarang ganti rugi yang perlu dibayar kepada kedua-dua syarikat tersebut. Najib, 72, dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022, susulan sabitannya kerana menyelewengkan dana SRC sebanyak RM42 juta. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh penjara beliau kepada enam tahun, dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta. Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Najib dan denda RM11.387 bilion susulan sabitannya dalam kes 1MDB, dengan tempoh penjara tersebut bermula sejurus selepas beliau tamat menjalani tempoh penjara semasa. Peguam Kwan Will Sen mewakili SRC, manakala Chong Yik Loong mewakili Shahrol. Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

Share this post: