TheMalaysiaTime

Ketamin lebih RM1 juta ditemui dalam guni

2026-03-26 - 08:10

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata 20 bungkusan plastik mengandungi 20.2kg ketamin ditemui dalam guni di kawasan pantai Pasir Bogak dekat Pulau Pangkor. (Gambar PDRM) IPOH: Polis menemui 20.2kg ketamin yang dianggarkan bernilai RM1.01 juta dalam guni di kawasan pantai Pasir Bogak dekat Pulau Pangkor, malam tadi. Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata dadah itu ditemui pasukan daripada IPD Manjung dan Balai Polis Pangkor kira-kira 9 malam susulan maklumat awam. “Pemeriksaan ke atas guni itu menemui 20 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis ketamin. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terbabit aktiviti pengedaran dadah. Orang ramai mempunyai maklumat boleh menyalurkannya melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222.

Share this post: