Keselamatan tenaga bergantung pada Petronas, PDA ketika dunia tak menentu
2026-03-17 - 03:23
Kestabilan harga dan bekalan bahan api negara bukan sahaja bergantung subsidi kerajaan yang berbelanja RM3.2 bilion sebulan untuk mengekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95. PETALING JAYA: Keselamatan tenaga negara banyak bergantung kepada Petronas dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik akibat krisis global di Asia Barat, kata pakar geostrategi Azmi Hassan. Beliau berkata, ramai tidak menyedari kestabilan harga dan bekalan bahan api negara bukan sahaja bergantung subsidi kerajaan yang berbelanja RM3.2 bilion sebulan untuk mengekalkan harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95. Katanya, keadaan itu turut didorong kecekapan sistem rantaian bekalan minyak dan gas di seluruh negara dibangunkan Petronas yang diiktiraf antara 10 syarikat minyak terbaik di dunia. Sehubungan itu, Azmi berkata pertikaian melibatkan Petros dan Petronas, serta cabaran kerajaan Sarawak terhadap peranan Petronas melalui isu berkaitan PDA, menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan pengurusan tenaga negara. “Jika Petronas tidak dapat berfungsi seperti sekarang kerana PDA dipersoalkan, ia boleh memberi kesan besar kepada sistem tenaga negara. “Ini kerana kewujudan Petronas sendiri berasaskan akta tersebut,” katanya. Beliau turut membandingkan situasi Malaysia dengan negara jiran seperti Indonesia yang mempunyai syarikat minyak nasional Pertamina, namun berdepan cabaran dalam rantaian bekalan. “Tahun lepas, Pertamina dikaitkan dengan isu rasuah dan kini Indonesia berdepan masalah berkaitan bekalan gas dan minyak,” katanya. Pada 23 Feb, Sarawak mengumumkan ia memulakan prosiding di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kejelasan mengenai kesahihan PDA, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966, serta pemakaiannya ke atas negeri itu. Tindakan itu dibuat sebulan selepas Petronas memohon kebenaran daripada mahkamah sama bagi mendapatkan kejelasan kehakiman berhubung rangka kerja kawal selia yang mengawal operasinya di Sarawak. Semalam, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Petronas untuk mencabar keperlembagaan beberapa ordinan Sarawak yang mengawal selia minyak dan gas di negeri itu. Petronas sebelum ini berkata tindakan undang-undang itu difailkan bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan muktamad mengenai kedudukan undang-undang yang terpakai kepada sektor petroleum di Sarawak.