TheMalaysiaTime

Kesatuan gesa garis panduan jelas BDR, elak jejas hak pekerja

2026-03-27 - 23:31

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia saran klausa khusus berkaitan BDR dimasukkan dalam perjanjian kolektif bagi memperincikan hak, tanggungjawab serta perlindungan kepada pekerja. PETALING JAYA: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan memperkenalkan garis panduan nasional yang jelas berhubung inisiatif bekerja dari rumah (BDR) susulan cadangan aturan kerja lebih anjal dalam sektor awam dan swasta. Setiausaha agungnya, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata garis panduan itu penting bagi memastikan pelaksanaan BDR secara adil, telus dan tidak menjejaskan hak pekerja. Menurutnya, UNI-MLC turut mencadangkan klausa khusus berkaitan BDR dimasukkan dalam perjanjian kolektif bagi memperincikan hak, tanggungjawab serta perlindungan kepada pekerja. “Pendekatan kerja anjal merupakan satu langkah progresif. Namun, ia mesti dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan hak pekerja, sebaliknya memperkukuh kesejahteraan dan produktiviti secara menyeluruh,” katanya kepada FMT. Beliau mengulas saranan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semalam yang menggalakkan sektor swasta melaksanakan inisiatif sementara BDR, dengan pelaksanaan berperingkat turut membabitkan penjawat awam terpilih susulan kesan konflik di Timur Tengah. Effendy berkata, pelaksanaan BDR tidak boleh dijadikan alasan untuk memindahkan risiko serta kos operasi kepada pekerja, termasuk kos utiliti seperti elektrik dan internet, sebaliknya majikan perlu menyediakan peralatan kerja mencukupi dan tidak membebankan pekerja menyediakan sendiri keperluan itu. “Sebarang penjimatan kos oleh majikan tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada pekerja kerana ia bercanggah dengan prinsip keadilan industri.” Tegasnya, kepentingan menetapkan waktu kerja jelas serta menghormati hak pekerja dengan tidak diganggu di luar waktu kerja. Beliau berkata, pelaksanaan BDR berpotensi memberi kesan kepada kesihatan mental pekerja, termasuk risiko beban kerja berlebihan, tekanan untuk sentiasa responsif serta pengasingan sosial. “Majikan perlu memastikan pengurusan kerja yang munasabah dan beretika, selaras prinsip kesejahteraan pekerja.” Jelasnya, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga perlu diberi perhatian serius, termasuk faktor ergonomik, keselamatan persekitaran kerja di rumah serta pengurusan tekanan kerja. “Pelaksanaan BDR perlu diperkukuh melalui garis panduan jelas, pemantauan berterusan serta tanggungjawab bersama antara majikan dan pekerja bagi memastikan kesejahteraan tenaga kerja sentiasa terpelihara.”

Share this post: