Kes serang polis, 3 disambung reman
2026-03-28 - 10:20
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail, berkata lima individu lain dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman tiga hari. (Gambar Bernama) GEORGE TOWN: Tiga daripada lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung sekumpulan suspek dipercayai menyerang anggota polis akibat salah faham dalam satu insiden di kawasan pangsapuri di Jalan Sungai, malam Rabu, disambung reman. Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail, berkata pihaknya memperoleh perintah reman tiga hari lagi sehingga Isnin ini terhadap tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu yang ditahan selepas kejadian berkenaan. Beliau berkata, lima lagi lelaki yang direman tiga hari sebelum ini telah tamat tempoh reman hari ini dan dibebaskan dengan jaminan polis. “Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan,” katanya kepada Bernama. Dalam kejadian 9.50 malam itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di pangsapuri tersebut meminta bantuan pasukan lain dan sebaik tiba, mendapati empat anggota yang bertugas sedang mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah perumahan itu sebelum berlaku perselisihan faham dengan beberapa orang awam di situ. Akibat kejadian itu, tiga daripada empat anggota polis terbabit mengalami kecederaan ringan ketika berlaku pergelutan dengan orang awam. Susulan insiden berkenaan, polis menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan merusuh serta menggunakan kekerasan jenayah atau ugutan bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas.