Kes rangka bayi ditanam: 5 direman, termasuk remaja 19 tahun
2026-03-26 - 06:30
Hakim Mahkamah Sesyen Kamarul Aris Kamaludin keluar perintah reman 4 hari terhadap semua suspek bermula hari ini. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Lima suspek direman, termasuk seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang dipercayai ibu kepada rangka bayi ditemukan ditanam di depan sebuah rumah di Kelemak, Alor Gajah, bagi membantu siasatan kes. Hakim Mahkamah Sesyen Kamarul Aris Kamaludin mengeluarkan perintah reman empat hari bermula hari ini terhadap semua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran. Suspek lain yang direman terdiri daripada teman lelaki, serta ibu, kakak dan adik lelaki remaja perempuan itu, lapor Bernama. Terdahulu, suspek-suspek berusia antara 16 hingga 40 tahun tiba di Kompleks Mahkamah Alor Gajah kira-kira 8.50 pagi dengan diiringi polis dan bergari. Semalam, media melaporkan rangka bayi ditemukan ditanam di depan sebuah rumah di Kelemak, dipercayai sejak kira-kira empat bulan lepas.