TheMalaysiaTime

Kes pelantar benua: Wakil rakyat Sabah digesa sumbang dana

2026-03-20 - 14:11

Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau berkata, jumlah yang mampu dikumpul lepasi sasaran malah jadi bukti kukuh perpaduan wakil rakyat Sabah pertahan kepentingan negeri. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Bekas presiden Upko Wilfred Madius Tangau menggesa wakil rakyat di Sabah membantu membiayai cabaran undang-undang berhubung hak pelantar benua Sabah. Beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Sabah Action Body Advocating Rights (Sabar) memerlukan RM500,000 menjelang 30 April ini untuk membiayai cabaran undang-undang tersebut di Mahkamah Persekutuan. Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, ika semua wakil rakyat dan Adun lantikan menyumbang RM5,000 setiap seorang, sejumlah RM555,000 dapat dikumpul. Sabah mempunyai keseluruhan 111 wakil rakyat, terdiri daripada 25 Ahli Parlimen, 73 Adun, tujuh senator dan enam Adun lantikan. “Jumlah ini bukan sahaja akan melepasi sasaran, malah menjadi bukti kukuh perpaduan kita dalam mempertahankan kepentingan negeri,” katanya, sambil memuji inisiatif yang ditunjukkan oleh dua Ahli Parlimen, Verdon Bahanda (Kudat) dan Jonathan Yasin (Ranau), yang masing-masing menyumbang RM5,000. Saman Sabar, yang menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan tunggal, mempertikaikan kesahihan Akta Laut Wilayah 2012, yang mengehadkan sempadan maritim negeri kepada hanya tiga batu nautika. Peguam Sabar, Roland Cheng berkata, tindakan undang-undang itu bertujuan menuntut semula hak pemilikan Sabah ke atas dasar laut, pelantar benua serta sumber semula jadi di dalamnya. Katanya, dana yang besar diperlukan untuk mendapatkan khidmat pakar perundangan, memandangkan kerajaan persekutuan juga telah melantik pakar perundangan untuk menghujahkan bahawa Sabah tidak berhak menuntut pelantar benuanya.

Share this post: