Kes Muhyiddin: Pendakwaan sedang siapkan pernyataan saksi Tengku Zafrul
2026-02-23 - 10:14
Tengku Zafrul Aziz merupakan menteri kewangan dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin antara Mac 2020 hingga Ogos 2021. KUALA LUMPUR: Pendakwaan kini sedang menyiapkan pernyataan saksi bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi kes Muhyiddin Yassin yang didakwa menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil kegiatan haram. Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bahawa pihaknya telah menyerahkan 99.5% pernyataan saksi kepada pembelaan, kecuali pernyataan saksi penting yang belum diserahkan. “Kami akan menyerahkan pernyataan saksi Tengku Zafrul kepada pihak pembelaan dua minggu sebelum beliau memberi keterangan di mahkamah,” katanya. Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin mengesahkan telah menerima pernyataan saksi terbabit namun berkata, pihaknya belum menerima pernyataan ahli perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhari. “Kami mahu mendapatkan pengesahan sama ada beliau akan dipanggil memberi keterangan atau sebaliknya ... saya bangkitkan perkara ini kerana nama Syed Mokhtar tidak dimasukkan dalam senarai saksi pendakwaan,” katanya. Menyentuh perkara itu, Wan Shaharuddin berkata, senarai saksi yang diserahkan hari ini hanya melibatkan kes Projek Jana Wibawa dan nama Syed Mokhtar telah dimasukkan dalam senarai saksi bagi kes pengubahan wang haram yang diserahkan kepada pembelaan tiga tahun lepas. “Jika tiada pernyataan saksi diserahkan kepada pembelaan, maka besar kemungkinan saksi terbabit akan memberi keterangan secara lisan,” katanya. Noor Ruwena kemudian mengarahkan pendakwaan menyerahkan senarai semua saksi pada Jumaat ini. Pada 7 Okt tahun lepas, Jabatan Peguam Negara menolak representasi Muhyiddin bagi menggugurkan tujuh tuduhan terhadapnya. Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian merupakan perdana menteri dan presiden Bersatu didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti berkenaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. Beliau juga berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank itu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.