TheMalaysiaTime

Kes buang kucing meningkat ketika Hari Raya, kata penyelamat haiwan

2026-03-20 - 01:40

Pengasas Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia, Kalaivanan Ravichandran menyeru pemilik haiwan untuk menjadi pemilik bertanggungjawab, termasuk melakukan pemandulan bagi mengelakkan pembiakan tidak terkawal. PETALING JAYA: Di sebuah pasar basah yang sibuk, terdengar bunyi kucing mengiau perlahan-lahan dari dalam sebuah kotak kadbod yang ditinggalkan di satu sudut yang agak tersorok. Di dalamnya terdapat seekor ibu kucing bersama empat anaknya yang masih kecil, ditinggalkan bersama bekas pasir, makanan kering dan tisu – petanda bahawa haiwan itu pernah dipelihara seseorang. Bagi penyelamat haiwan, Norashikin Ahmad, kes seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa. Katanya, sepanjang tempoh Hari Raya Aidilfitri, kes kucing dibuang meningkat dengan ketara. “Setiap kali Hari Raya, kami mendapat jumlah kucing yang dibuang di pasar, restoran atau berhampiran pusat perlindungan haiwan meningkat mendadak. “Kami sedari perkara ini apabila ada kucing baharu tiba-tiba muncul di kawasan kami beri makan kucing terbiar, kadangkala ditinggalkan bersama bekas pasir atau makanan,” kata pengasas Star Shelter itu kepada FMT. Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) berkata pihaknya turut melihat trend yang sama apabila kumpulan penyelamat dan pemberi makan haiwan terbiar mendapat jumlah haiwan yang dibuang meningkat ketika musim perayaan. Pengasas SAFM, Kalaivanan Ravichandran, berkata walaupun tiada statistik rasmi mengenai pembuangan haiwan peliharaan ketika musim perayaan, banyak haiwan yang ditemui di pasar atau restoran kelihatan pernah dipelihara berdasarkan sifat jinak dan keadaannya yang bersih. “SAFM percaya beberapa faktor mungkin menyumbang kepada situasi ini. Musim perayaan sering melibatkan perjalanan, menziarahi keluarga dan peningkatan komitmen kewangan. “Ada pemilik haiwan peliharaan pulang ke kampung halaman dan mungkin hadapi kesukaran untuk dapatkan penjagaan sementara untuk haiwan peliharaan mereka. “Ada juga yang tidak rancang lebih awal untuk perkhidmatan penjagaan atau penjaga haiwan,” katanya. Norashikin dan Kalaivanan berkata kos serta faktor kemudahan menjadi antara punca utama. Menurut mereka, ada segelintir pemilik ingin tidak mahu membayar perkhidmatan atau gagal dapatkan tempat penjagaan sementara untuk haiwan peliharaan mereka sebelum pulang ke kampung. “Daripada merancang lebih awal, ada yang memilih jalan mudah dengan membuang sahaja kucing mereka,” kata Norashikin. Beliau berkata keadaan itu menambah tekanan kepada pusat perlindungan dan penyelamat yang beroperasi dengan sumber terhad, kerana ia meningkatkan kos makanan, rawatan dan penjagaan. Sinar harapan buat kucing terbiar Di sebalik cabaran yang dihadapi, sebahagian kucing berjaya diselamatkan dan diberi peluang kedua. Star Shelter secara berkala memberi makan kucing terbiar serta mengambil haiwan yang sakit atau terdedah kepada risiko, sementara yang lain ditawarkan untuk dipelihara. “Kucing-kucing ini masih boleh mendapat rumah baharu, terutama yang jinak,” kata Norashikin. Beliau berkata banyak kucing yang dibuang, khususnya anak kucing, berdepan bahaya seperti dilanggar kenderaan dan diserang haiwan lain. Sementara itu, Kalaivanan Ravichandran menggesa pemilik haiwan peliharaan menjadi pemilik haiwan bertanggungjawab, termasuk melakukan pemandulan bagi mengelakkan pembiakan tidak terkawal. “Pemilik yang bercadang untuk melancong ketika musim perayaan perlu merancang lebih awal dengan mendapatkan perkhidmatan penjaga, pusat jagaan haiwan, atau meminta bantuan ahli keluarga atau jiran untuk menjaga haiwan mereka. “Aidilfitri adalah waktu menunjukkan kasih sayang dan kebaikan, dan kami berharap orang ramai dapat menzahirkan nilai itu dengan menganggap haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada keluarga, bukan membuangnya apabila ia menyusahkan.”

Share this post: