TheMalaysiaTime

Kerusi Puteri Wangsa bukan milik mana-mana parti, kata Pemuda PKR

2026-03-05 - 07:24

Faezuddin Puad berkata pembahagian kerusi perlu ditentukan secara rasional mengambil kira kekuatan jentera, gerak kerja di lapangan dan kebolehan memenangi hati pengundi. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Kerusi Puteri Wangsa tidak harus dilihat sebagai milik mutlak mana-mana parti, kata Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad mengulas pengumuman sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), Amanah bertanding DUN itu pada PRN. Faezuddin berkata, soal pembahagian kerusi perlu ditentukan secara rasional dengan mengambil kira kekuatan jentera, gerak kerja di lapangan dan kebolehan memenangi hati pengundi. Katanya, semua pihak juga perlu mengakui pengundi semakin bijak menilai dan tahu membezakan pihak konsisten berkhidmat dengan mereka yang hanya muncul apabila pilihan raya semakin hampir. “Sekiranya perkara ini tidak diambil kira dengan serius dan diurus dengan cermat, kita bimbang berlaku penolakan terhadap calon atau parti yang dilihat sebagai ‘payung terjun’ dan tidak berakar di kawasan,” katanya dalam kenyataan. Beliau mengulas pengumuman Naib Pengerusi Amanah Johor Zuhan Zain yang parti itu akan mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini ‘dipinjamkan’ kepada Muda selepas parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Menurutnya, tiada rundingan politik sedang atau akan diadakan bersama Muda seperti pernah berlaku sebelum PRN Johor pada 2022. DUN itu dimenangi Muda menerusi Amira Aisya Abdul Aziz dalam pertandingan enam penjuru pada 2022 dengan majoriti 7,114 undi. Pada 10 Sept 2023, Muda memaklumkan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan. Amira juga tidak lagi berada dalam blok pengimbang DUN Johor bersama PH.

Share this post: