Kerusi Parlimen di Semenanjung juga tak seimbang, kata wakil rakyat
2026-03-09 - 00:44
Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah gesa persempadanan kawasan pilihan raya di Semenanjung diberi perhatian serius. PETALING JAYA: Dua Ahli Parlimen menggesa ketidakseimbangan kawasan pilihan raya di Semenanjung diberi perhatian serius, ketika kerajaan komited untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak. Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah senada menjelaskan gesaan ini bagi memantapkan khidmat di kawasan-kawasan yang ketika ini terlalu besar. Jimmy dari PKR menarik perhatian ke Parlimen Tebrau dan Bangi, masing-masing sekitar 223,000 pengundi dan lebih 300,000 pemilih pada PRU15 lalu. “Bagi kawasan Parlimen terlalu besar, sudah tiba masanya diwujudkan kerusi baharu supaya wakil rakyat dapat memberi tumpuan lebih efektif kepada kebajikan pengundi,” katanya kepada FMT. Beliau juga berkata peruntukan yang diterima daripada kerajaan adalah sama walaupun jumlah pengundi berbeza. “Ini menyebabkan pengundi di kawasan besar seperti Tebrau tidak mendapat layanan setimpal.” Azli Yusof dari Amanah berkata sebab untuk menambah kerusi di Parlimen di Semenanjung untuk untuk khidmat, berbanding Sabah dan Sarawak yang mungkin mahu menambah suara di Dewan Rakyat. “Asas paling utama dalam menambah kerusi atau melakukan persempadanan semula adalah supaya Ahli Parlimen dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat,” katanya. Penambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah Sarawak menjadi salah satu aspek rundingan dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sedang berjalan ketika ini. Ketika ini, Sabah dan Sarawak memiliki masing-masing 25 dan 31 kerusi daripada keseluruhan 222 di Parlimen. Pada 26 Feb lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memaklumkan kajian semula persempadanan bagi Sabah dan Sarawak telah berakhir. Bagi negeri-negeri di Semenanjung, lat tempoh lapan tahun daripada kajian semula terdahulu akan berakhir pada 9 Mac ini. Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya boleh menjalankan kajian semula selepas tamat tempoh lapan tahun daripada urusan terakhir, atau sekiranya berlaku pindaan undang-undang melibatkan komposisi keanggotaan Dewan Rakyat atau DUN. Pada 16 Nov tahun lalu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan secara dasar bersetuju menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, mengambil kira jumlah pengundi di kedua-dua negeri terbabit. Menurutnya, setakat ini tiada komitmen meningkatkan jumlah kerusi di dua negeri itu sehingga 1/3 daripada keseluruhan kerusi, namun komited menambahnya mengikut keperluan.