Kerusi Muhyiddin yang terlepas, dipertahan dan ingin diduduki lagi
2026-03-06 - 00:03
Pasca PRU2022, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berdepan pelbagai gelora dalam politiknya. Ia bermula kegagalan beliau dan Perikatan Nasional (PN) mendapat mandat rakyat serta sokongan Ahli Parlimen mencukupi untuk membolehkannya kembali ke kerusi perdana menteri. Keadaan Parlimen tergantung yang menyebabkan tiada parti mendapat majoriti membentuk kerajaan di Putrajaya membuka penubuhan kerajaan perpaduan, cadangan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa itu untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan. Muhyiddin dan PN diberi pilihan menyertainya tetapi mereka menolaknya. Selepas kerajaan perpaduan ditubuhkan diketuai Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Pagoh tersebut terpaksa ke blok pembangkang namun kedudukannya bukan di kerusi ketua walaupun statusnya ketika itu sebagai pengerusi PN. Bekas perdana menteri itu duduk di sebelah Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang dilantik ketua pembangkang dan difahamkan atas kepercayaan diberikan PAS selaku parti memiliki kerusi terbanyak dalam PN. Walhal status Hamzah ketika itu hanya setiausaha agung Bersatu dan PN. Muhyiddin terlepas kerusi ketua pembangkang yang boleh menjadi batu loncatan ke kerusi perdana menteri sama seperti Anwar dan Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob. Anwar menjadi ketua pembangkang selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 tumbang akibat Langkah Sheraton pada 2020 yang mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri. Ismail, bekas naib presiden Umno pula menjadi ketua pembangkang lapan tahun lalu, menggantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi. Parti itu hilang tampuk pemerintahan pada PRU14. Pertikaian mengenai kerusi ketua pembangkang dibangkitkan Muhyiddin dalam satu temu bual dengan beberapa media, minggu ini. Muhyiddin mendedahkan alasan mengapa beliau tidak hadir ke sidang Parlimen berlangsung 2 dan 3 Mac lalu, dua hari terakhir sebelum ditangguhkan ke Jun depan. Muhyiddin mendakwa selain faktor kesihatan, beliau merasa janggal duduk bersebelahan Hamzah, bekas timbalannya di Bersatu sebelum dipecat 13 Feb lalu. Dakwanya, ini kerana Hamzah secara terbuka mengisytiharkan dirinya sebagai musuh nombor satunya walaupun pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada September tahun lalu nadanya lain, iaitu penyokong utama. Muhyiddin juga menegaskan Hamzah sepatutnya insaf dan sedar bahawa beliau bukan lagi ketua pembangkang dan berundur dengan baik. Sebelum Muhyiddin memberi amaran itu, gesaan Hamzah berundur dari kerusi berkenaan dilaungkan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz sehingga ditegur rakan daripada PAS kerana terlalu kerap ‘membuat bising’ Namun, maklum balas tidak seperti diharapkan Bersatu apabila Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menjelaskan Hamzah masih ketua pembangkang. Alasannya, tiada pemakluman oleh PN. Ia menimbulkan persoalan memandangkan mesyuarat PN pada 22 Feb dikatakan bersetuju supaya PAS mengisi jawatan itu. Mungkinkah gesaan Muhyiddin juga supaya PAS, rakan komponennya bertindak segera. Namun, PN ada masa panjang iaitu sehingga 22 Jun depan, iaitu hari pertama mesyuarat kedua penggal kelima Parlimen ke-15, untuk memilih ketua pembangkang. Tetapi dalam politik semua kemungkinan tetap ada. ‘Terluka’ pertahan kerus presiden Pertembungan Muhyiddin dan Hamzah yang bermula selepas pelantikan ketua pembangkang memuncak selepas PAT Bersatu 2025. Krisis dalaman parti itu tidak lagi boleh ditutup. Gesaan ‘gencatan senjata’ pada PRN Sabah ibarat ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’. Bermula dengan pemecatan wakil rakyat daripada kem Hamzah seperti Saifuddin Abdullah, Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, ia sampai ke kemuncak bulan lalu. Hamzah dipecat. Bertindak balas daripada tindakan disiplin itu, beliau yang sebelumnya berdiam diri melancarkan serangan terhadap Muhyiddin dengan gerakan dikenali ‘reset’. Kali ini, Muhyiddin menang dan berjaya mempertahakan kerusi presiden Bersatu. Namun, dengan ‘luka besar’ apabila hilang enam Ahli Parlimen yang dipecat dan mungkin bertambah 13 lagi yang dikatakan menyokong Hamzah. Tetapi, Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Hamzah dan belum dipecat itu, pasti perlu berhati-hati kerana silap langkah kerusi disandang mereka mungkin kosong mengikut akta antilompat parti. Masa akan menentukan bagaimana Muhyiddin dengan enam wakil rakyat Bersatu yang masih menyokongnya bergerak sebelum Parlimen dibubarkan. Pada masa sama, pasukan Hamzah dikatakan sedang dalam proses mengambil alih Parti Keluarga Malaysia. Keadaan ini mungkin membawa satu lagi polemik. Ditakdirkan parti baharu Hamzah itu diterima PN sebagai komponennya, tidak mustahil ia bakal menjadi kuasa kedua selepas PAS. Mungkinkah keadaan itu membolehkan Hamzah kekal ketua pembangkang? Muhyiddin juga pasti enggan merelakan perkara itu berlaku. Beliau pastinya tidak mahu merasa janggal duduk dalam mesyuarat PN bersama Hamzah yang hadir selaku ketua Parti Keluarga Malaysia jika permohonan mereka diterima. Malah, beliau menegaskan dirinya akan menentang usaha dan menolak permohonan parti baharu Hamzah dalam PN. Tetapi persoalannya, bagaimana pula isi hati orang lain? Calon PM tanpa kuasa total? Soal kerusi di Parlimen yang dikaitkan Muhyiddin bukan sahaja menarik untuk diperhati dalam masa terdekat tetapi PRU16 terutama selepas kedudukan pengerusi PN disandangnya sebelum ini, kini beralih kepada Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar. Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan secara sukarela ketika krisis kepimpinan di Perlis hujung tahun lalu. Tetapi adakah pengaruhnya dalam PN menurun? Sebagai calon perdana menteri ke-11 daripada Bersatu, nama Muhyiddin pasti dipertimbangkan pimpinan PN selain Samsuri sebagai ‘poster boy’ gabungan itu pada PRU16. Jika ditakdirkan terpilih, beliau ada peluang menduduki kerusi yang kini diduduki Anwar di Parlimen dengan syarat PN menang PRU16 dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Tetapi, bagaimana kelancaran laluannya itu ketika beliau bukan ketua pembangkang, pengerusi PN dan hilang sokongan ramai wakil rakyat daripada parti sendiri. Dalam politik semuanya tidak mustahil, apatah lagi Muhyiddin yang mahir dalam selok-belok politik dengan terbabit menjatuhkan tiga perdana menteri sebelum dirinya diangkat ke koridor kuasa, enam tahun lalu. Mungkinkah dengan harapan itu, beliau masih ingin duduk kerusi perdana menteri baik di Putrajaya dan Parlimen. Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.