Kertas siasatan kes pelajar hina Quran sudah dihantar kepada pendakwa
2026-02-27 - 14:34
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya dalam siasatan penuntut UMPSA. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kertas siasatan melibatkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam sudah lengkap, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman. Katanya, suspek masih direman dan kertas siasatan sudah dihantar kepada timbalan pendakwa raya. “Jadi, kita menunggu arahan selanjutnya,” katanya menurut Bernama selepas Majlis Berbuka Puasa Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kuantan. Dalam pada itu, beliau berkata setakat malam ini, pihaknya menerima 28 laporan polis di seluruh negara mengenai kes itu. “Saya mohon kepada masyarakat untuk menunggu tindakan selanjutnya dan pihak polis akan ambil tindakan sewajarnya terhadap kes ini,” katanya sambil menambah suspek memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dijalankan. Dua hari lalu, seorang penuntut UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial. Terdahulu, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA itu di media sosial.