Kerjasama Sabah, Sarawak adalah ‘gandingan’ bukan ‘blok’, kata Salleh
2026-03-05 - 14:54
Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak berkata Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi dalam persekutuan, bukan satu kumpulan yang berasingan daripadanya. (Gambar Wikipedia) PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak berkata cadangan kerjasama antara negeri itu dan Sarawak menjelang PRU16 lebih sesuai dikenali sebagai ‘gandingan’ bukannya ‘blok’. Beliau berkata Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi dalam persekutuan, bukan satu kumpulan yang berasingan daripadanya, dan apa juga bentuk kerjasama antara kedua-dua negeri mesti difahami dalam kerangka itu. “Atas sebab itu, pendekatan yang lebih sesuai ialah ‘gandingan’, bukan ‘blok’. “Perkataan ‘blok’ boleh memberi gambaran konfrontasi. Gandingan pula melambangkan kerjasama, perkongsian dan tanggungjawab bersama dalam Malaysia,” katanya di Facebook. Katanya, dengan bergerak bersama, Sabah dan Sarawak boleh memperkukuh kuasa tawar serta terus memperjuangkan perkara penting seperti pelaksanaan MA63 dan perwakilan Parlimen yang lebih adil termasuk tuntutan satu pertiga kerusi. Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang menafikan dakwaan wujudnya ‘blok Borneo’ seperti yang dibangkitkan beberapa pemimpin politik baru-baru ini. Menegaskan bahawa dakwaan itu sebagai tidak berasas, Hajiji berkata tidak wujud istilah atau entiti sedemikian kerana Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian dari Malaysia. Hajiji menjawab dakwaan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim bahawa cadangan pembentukan blok Borneo merupakan contoh ‘bagaimana kebijaksanaan rakyat Sabah dan Sarawak untuk terus memperdaya dan mengawal Malaya’. Zaid juga menuduh Sabah dan Sarawak mencabar undang-undang persekutuan dan menuntut ’30 perkara yang masih belum selesai di bawah MA63′. Idea mengenai Blok Borneo muncul pada 2018 susulan keluarnya parti-parti pemerintah Sarawak daripada Barisan Nasional. Sekumpulan pemimpin dari Sabah menyambut baik cadangan tersebut atas dasar ia akan membolehkan kedua-dua negeri Malaysia Timur itu bekerjasama untuk mendesak pelaksanaan hak-hak di bawah MA63.