TheMalaysiaTime

Kerjasama Sabah-Petronas demi kepentingan terbaik negeri, kata menteri

2026-03-04 - 00:04

Mustapha Sakmud berkata model kerjasama dimeterai kerajaan Sabah dan Petronas mencerminkan pilihan untuk membina dari dalam kerangka persekutuan. KUALA LUMPUR: Sabah menghormati pendekatan berbeza diambil Sarawak dalam isu sumber minyak dan gas, namun memilih bekerjasama dengan Petronas demi kepentingan terbaik negeri itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud. Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, Mustapha mengakui kedua-dua negeri di Malaysia Timur itu mengambil pendekatan sangat berbeza dalam perkara tersebut. “Pendekatan Sabah ialah usaha sama dengan Petronas,” katanya merujuk perjanjian kerjasama komersial dimeterai pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor dengan syarikat minyak dan gas nasional itu pada Disember 2021. Mustapha berkata, pendekatan Sabah bersifat ‘lembut dan berhemah’ yang mengutamakan ‘kepentingan bersama’. Beliau mengakui pertumbuhan hasil melalui pendekatan itu mungkin lebih perlahan berbanding memiliki keseluruhan rantaian bekalan, namun menyifatkannya sebagai model yang sesuai dengan tahap pembangunan kapasiti Sabah ketika ini. Katanya, ketika Sabah masih berusaha merapatkan jurang infrastruktur, model kerjasama itu adalah pilihan untuk membina dari dalam kerangka persekutuan, bukan di luarnya. Mustapha menegaskan, Sarawak berhak memilih haluan yang berbeza. Februari lalu, Sarawak memfailkan petisyen mencabar keabsahan perlembagaan dan pemakaian tiga undang-undang persekutuan terhadap negeri itu, iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), Akta Pelantar Benua 1966, dan Akta Perlombongan Petroleum 1966. “Kami menghormati petisyen kerajaan Sarawak untuk mendapatkan kejelasan, dan akan membiarkan mahkamah membuat keputusan,” katanya. Mustapha berkata, pandangan Sarawak wajar dihormati kerana negeri itu percaya ia mampu menentukan haluannya sendiri. Beliau turut menyatakan Sarawak memiliki pengalaman lebih lama dalam sektor minyak dan gas, dengan kontraktor dan bakat tempatan yang mantap. Beliau juga berkata, keputusan Petronas dan kerajaan Sarawak untuk merujuk kepada mahkamah bagi menyelesaikan perbezaan mereka berhubung PDA serta undang-undang persekutuan dan negeri yang berkaitan adalah perkembangan positif. “Satu perkara yang saya pegang ialah adab dalam mengurus perbezaan pendapat. “Jika niat kita untuk mencari kebenaran, dan kita menghormati kedua-dua Perlembagaan Persekutuan dan negeri, maka adalah positif apabila mahkamah diminta mentafsir undang-undang,” katanya. Katanya, kejelasan adalah penting supaya Petronas dan syarikat minyak dan gas milik Sarawak, Petros, tidak terperangkap dalam ketidaktentuan undang-undang, sambil memberi amaran ketidakjelasan berpanjangan boleh menghakis keyakinan pelabur terhadap syarikat minyak nasional. “Kita khususnya tidak mahu Petronas terjejas akibat isu seperti ini,” katanya, menyatakan syarikat minyak nasional mempunyai pelaburan di seluruh dunia dan reputasi global yang perlu dipelihara. Menurutnya, apa yang penting industri minyak dan gas Malaysia mesti kekal kukuh. “Kita tidak boleh mengorbankan Petronas. Ia sudah diiktiraf di peringkat global dan kita tidak mahu Petronas terjejas. Kita mahu industri minyak dan gas negara jadi lebih kukuh,” katanya. Mustapha beri amaran kelemahan Petronas akan mengurangkan hasil minyak dan gas, yang masih menjadi sandaran utama Malaysia. “Bila Petronas terjejas hasil minyak dan gas negara akan berkurangan,” katanya. Katanya, harus diingat Petronas sudah bertapak lebih 50 tahun dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan di seluruh negara khususnya Sabah dan Sarawak. Mustapha turut mengingatkan ketidakstabilan boleh menjejaskan pembangunan bakat masa depan serta rancangan peralihan tenaga Malaysia. “Kita tidak mahu isu ini menjejaskan masa depan industri minyak dan gas negara, atau melemahkan peluang pekerjaan terutama untuk generasi akan datang,” katanya.

Share this post: