TheMalaysiaTime

Kereta terbabas ke dalam sungai, lelaki ditemukan maut

2026-02-17 - 14:02

Mayat mangsa ditemukan pada 6.15 petang sebelum operasi ditamatkan pada 6.40 petang. (Gambar JBPM) PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas ke dalam sungai berhampiran Sekolah Dato’ Abdul Razak, Sungai Gadut hari ini. Ketua Polis Seremban Azahar Abdul Rahim berkata, mangsa berusia 25 tahun itu sebelum ini dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya. Katanya, keluarga mangsa cuba menjejaki lokasi terakhirnya melalui Sistem Pengesanan Global (GPS) pada Toyota Yaris yang dipandunya, selepas dia tidak pulang ke rumah sejak awal pagi tadi. “Hasil semakan mendapati lokasi terakhir kereta tersebut (adalah) berhampiran sungai berkenaan sebelum operasi pencarian dijalankan oleh pasukan bomba,” katanya, lapor Bernama. Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Dalam pada itu, Komander Operasi Kanan Zon 1 Seremban Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Mohd Fadhli Shamsudin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 5 petang tadi, dan mayat mangsa ditemukan pada 6.15 petang. “(Penyelamat) mengalami sedikit kesukaran memandangkan sungai agak dalam dan air deras berikutan hujan sejak awal pagi tadi,” katanya. Operasi membabitkan 13 anggota itu tamat pada 6.40 petang.

Share this post: