TheMalaysiaTime

Kerajaan teliti, tambah baik undang-undang sedia ada tangani campur tangan asing

2026-03-04 - 22:53

Ketua Pengarah MKN Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, untuk tindakan khusus diambil berhubung campur tangan asing, asas perundangan yang kukuh diperlukan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kerajaan sedang meneliti dan menambah baik perundangan sedia ada, terutamanya Kanun Keseksaan, bagi menangani ancaman campur tangan asing secara lebih khusus dan berkesan. Ketua Pengarah Keselamatan Negara Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, perkara ini perlu dilakukan memandangkan elemen campur tangan entiti asing ketika ini tidak ditangani secara mendalam mengikut lunas perundangan negara. Untuk tindakan khusus diambil berhubung campur tangan asing, asas perundangan yang kukuh diperlukan, termasuk dengan menambah baik undang-undang sedia ada, tambahnya. Beliau berkata, sebagai sebuah negara hukum, ketiadaan peruntukan undang-undang yang khusus menyukarkan agensi keselamatan dan penguatkuasaan untuk membendung anasir subversif itu secara tuntas. “Kalau kita tidak ada undang-undang, hendak ambil tindakan itu memang amat susah atau mustahil ... sebab itulah kita perlukan asas perundangan yang kukuh. “Dengan adanya perundangan tersebut, kita boleh mengambil tindakan pembuktian dan perundangan dengan cara yang lebih berkesan,” katanya pada program Bicara Naratif: Dimensi Baharu Keselamatan Negara yang disiarkan secara langsung di RTM malam tadi. Dalam pada itu, mengulas mengenai cabaran mengekang pengaruh asing di era keterbukaan digital kini, Raja Nurshirwan berkata, dalam pengurusan keselamatan dan perisikan, aspek impak jauh lebih penting berbanding ‘niat’ sesuatu pihak. Justeru, katanya, setiap perkara yang mempunyai elemen syak wasangka atau berpotensi menjadi ‘Trojan Horse’ bagi keselamatan negara wajib disiasat secara terperinci. “Kalau kita tidak siasat, maknanya kita tidak menjalankan tanggungjawab kita dengan sempurna. .. dari segi pengurusan keselamatan, ia dijalankan secara profesional dan proaktif,” katanya. Raja Nurshirwan turut memberi jaminan bahawa agensi-agensi risikan dan keselamatan di Malaysia kekal neutral dari segi politik selain sentiasa menyampaikan fakta serta kebenaran kepada kerajaan semasa. Pada Selasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat cubaan menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa, termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka. Perdana menteri berkata, siasatan awal polis juga mendapati gerakan itu berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi menggugat kerajaan sedia ada, lapor Bernama.

Share this post: