Kerajaan teliti kerangka laksana penyasaran subsidi diesel Malaysia Timur
2026-03-28 - 07:00
Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan hanya dipertimbangkan pada fasa seterusnya. PETALING JAYA: Dakwaan bahawa kerajaan persekutuan tidak berlaku adil kerana masih mengekalkan subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah tidak tepat. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan sejak awal tidak pernah menyatakan penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di tiga wilayah itu, sebaliknya ia dirancang untuk dilaksanakan secara berperingkat. “Dasar kerajaan sejak dari awal adalah melaksanakan reformasi dalam penyaluran subsidi melalui penyasaran subsidi. Maksudnya dasar subsidi akan diteruskan dengan mekanisme pengagihan secara bersasar. “Mengambil kira dasar ini merupakan satu pembaharuan yang besar, maka mekanisme pelaksanaannya bukan hanya perlu dirangka dengan penuh ketelitian, malah harus digerakkan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan. Harga diesel di Sabah dan Sarawak ketika ini adalah RM2.15 seliter manakala di Semenanjung RM5.52 seliter. Armizan berkata, kerajaan telah memulakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung pada 2024, diikuti penyasaran subsidi petrol RON95 di seluruh negara pada 2025. Katanya, tahun ini kerajaan sedang meneliti kerangka cadangan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dan sebaik cadangan mekanisme diperkemas, ia akan dibawa perbincangan dengan kerajaan Sabah serta Sarawak sebelum dilaksanakan. “Asasnya adalah subsidi diesel akan terus dilaksanakan, namun secara bersasar sekali gus menangani risiko ketirisan meliputi penyelewengan dan penyeludupan,” katanya. Beliau berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan hanya dipertimbangkan pada fasa seterusnya kerana beberapa faktor termasuk kebergantungan tinggi penduduk kepada diesel, keadaan geografi serta jurang harga barangan keperluan asas yang besar berbanding Semenanjung. Ahli Parlimen Papar itu berkata, kos pengangkutan barang melalui laut dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak juga lebih tinggi, sekali gus menyumbang kepada jurang harga barangan yang besar di wilayah tersebut. Katanya, kerajaan sudah mempunyai beberapa model penyaluran subsidi bahan api seperti BUDI95, BUDI Madani, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang boleh dijadikan panduan dalam memuktamadkan mekanisme bagi tiga wilayah tersebut. Menurutnya, kerajaan juga akan mengambil kira ciri unik di Sabah, Sarawak dan Labuan serta pandangan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan dasar itu. “Pada masa sama, perlu untuk diperbetulkan persepsi bahawa subsidi diesel tidak diberikan langsung kepada Semenanjung. Subsidi diesel terus disalurkan secara bersasar melalui SKDS dan Budi Madani kepada sektor pengangkutan darat dan barangan serta segmen masyarakat tertentu,” katanya.