TheMalaysiaTime

Kerajaan tekad pertahan RON95 RM1.99 seliter, kata PM

2026-03-01 - 14:43

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan mempertahankan harga subsidi RON95 semaksimumnya. PETALING JAYA: Kerajaan berusaha mempertahankan harga subsidi petrol RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter meskipun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi terkini konflik di Timur Tengah. Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan, berkata kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara. “Insya-Allah, untuk rakyat Malaysia saya akan cuba mempertahankan supaya tidak ada kenaikan harga minyak. “Kita akan bertahan semaksimumnya tapi, wallahualam, (pasaran) ini tak terkawal, kalau keadaannya menjadi sehingga luar daripada kawalan kita, itu (jika berlaku kenaikan harga) tidak dapat kita pastikan,” katanya menurut Bernama di Kompleks Seri Perdana. Pada Ahad, pasaran global berhati‐hati pada Ahad susulan tindakan ketenteraan AS ke atas Iran dan risiko geopolitik yang meningkat. Situasi di Timur Tengah telah mewujudkan sentimen mengelak risiko dan menjejaskan harga minyak mentah, ringgit serta aliran perdagangan. Pada masa ini, minyak mentah WTI naik 2.78% kepada USD67.02 setong, manakala minyak mentah Brent meningkat 2.87% kepada USD72.87 setong. Firma risikan perniagaan dan penyelidikan tenaga, Rystad Energy menjangkakan harga minyak mentah Brent berpotensi melonjak sebanyak USD20 setong pada Isnin, berikutan premium risiko yang diselaraskan semula melainkan terdapat petunjuk yang jelas mengenai ketegangan yang mereda pada hujung minggu susulan serangan tersebut.

Share this post: