Kerajaan rangka dasar tangani 15 juta kereta tersadai
2026-03-16 - 07:13
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menasihatkan pemilik tidak membiarkan kenderaan tersadai, tetapi lupuskannya melalui syarikat kendali Kemudahan Rawatan Automatif Berlesen. (Gambar Bernama) PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka dasar bagi menangani kira-kira 15 juta kenderaan tersadai atau tidak diperbaharui cukai jalan lebih lima tahun. Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata dasar itu bagi memastikan kenderaan tersadai dapat diurus dan dilupuskan dengan lebih teratur, selain mengelakkan ia dibiarkan di kawasan perumahan atau tepi jalan. “Memang kita sedang merangka dasar untuk melihat bagaimana memastikan kenderaan-kenderaan yang tidak digunakan ini dapat diuruskan dengan lebih baik, terutamanya dari segi pelupusan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini. Terdahulu, media melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan lebih 15 juta kenderaan tidak memperbaharui cukai jalan lebih lima tahun sehingga Disember lalu, kira-kira 37% daripada lebih 41 juta kenderaan dalam pangkalan data JPJ, dengan sebahagian besarnya mungkin kenderaan terbiar. Setiausaha Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan, Mohamed Irwan Mansor dilaporkan berkata, kira-kira 9.76 juta daripadanya motosikal dan 4.07 juta kereta, baki dua juta ialah bas, teksi, kereta sewa pandu sendiri, kenderaan barangan serta kenderaan lain. Loke menasihatkan pemilik tidak membiarkan kenderaan usang tersadai, tetapi melupuskannya melalui kemudahan syarikat mengendalikan Kemudahan Rawatan Automatif Berlesen (AATF) dibenarkan. Katanya, pelupusan melalui saluran sah akan membolehkan kenderaan itu dikeluarkan daripada sistem pendaftaran JPJ dan mengelakkan pemilik menanggung risiko undang-undang. “Kalau pemilik lupus kenderaan itu secara terus, ia tak perlu dibiarkan di tepi jalan, malah mereka boleh dapat balik sedikit bayaran untuk pelupusan kenderaan itu. “Jadi, kita harap orang ramai mempunyai kesedaran untuk menguruskan aset mereka. Walaupun kenderaan itu mungkin tak terpakai ataupun kenderaan usang, ia masih ada nilai.”