TheMalaysiaTime

Kerajaan peruntuk RM350 juta naik taraf laluan korban 15 pelajar Upsi

2026-02-01 - 13:06

Keadaan bas yang terbalik selepas terlibat nahas di JRTB Gerik-Jeli dekat Tasik Banding di Gerik, pada 9 Jun 2025. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan RM350 juta menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) melibatkan jajaran Perak, di mana laluan itu sebelum ini merekodkan nahas bas mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Jun tahun lalu. Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, berkata kerja-kerja awalan untuk projek berkenaan boleh bermula tahun ini dan berharap sebahagiannya mula dilaksanakan secara fizikal tahun depan. “Dalam RM350 juta ini, kami akan gunakan RM170 juta di 17 lokasi, satu lokasi RM10 juta untuk kami lebarkan jalan sebagai lorong memotong. Jadi, dah dikenal pasti ada 17 lokasi, ini akan membantu menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya nanti. “Itu perancangan kami dan peruntukan kewangan yang kami dah dapat, memang kami akan memohon tambahan sekiranya ada keperluan,” katanya menurut Bernama pada sidang media ketika melawat JRTB termasuk lokasi nahas bas pelajar Upsi pada 9 Jun 2025. Seramai 15 pelajar Upsi maut apabila bas dinaiki dari Jerteh, Terengganu ke Kampus Upsi Tanjong Malim, Perak, kemalangan dengan kereta Perodua Alza di KM53 JRTB (Jeli-Gerik), Perak. Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital. Dalam pada itu, Nanta berkata, kira-kira RM40 juta juga diperuntuk bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan JRTB membabitkan jajaran di Perak sepanjang tahun ini sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan pelaksanaan pelbagai kerja penyenggaraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi, termasuk pembaikan permukaan jalan, pemasangan kemudahan keselamatan serta penambahbaikan pencahayaan. “Jadi untuk kerja-kerja penyenggaraan, kami ada RM40 juta ataupun sedikit lebih lagi daripada itu, memang dilaksanakan melalui syarikat konsesi di sini (JRTB), iaitu Belati Wangsa Sdn Bhd.” Pada masa sama, beliau berkata kementerian sentiasa memantau keadaan serta keperluan di laluan itu sekiranya memerlukan sebarang penambahbaikan untuk memberi keselesaan serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Share this post: