Kerajaan perlu waspada agensi keselamatan guna AI
2026-03-22 - 05:21
Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggesa agensi dan jabatan di bawah kementeriannya mempercepatkan penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan. PETALING JAYA: Seorang penganalisis pertahanan menggesa kerajaan berhati-hati terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam proses kerja kerana bimbang dengan potensi kebocoran data dan kebolehpercayaannya. Lam Choong Wah dari Universiti Malaya berkata, ketiadaan teknologi AI generatif milik Malaysia memaksa agensi keselamatan, yang sering mengendalikan maklumat sulit penting, bergantung kepada produk negara lain. Lam Choong Wah. Ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan privasi data yang dimasukkan dalam teknologi itu, walaupun hanya bagi tujuan pentadbiran kerana tiada perlindungan domestik dan data disimpan di luar negara. “Pandangan saya ialah agensi keselamatan kita mesti lebih berhati-hati ketika menggunakan AI. Risiko kebocoran data tidak boleh dipandang ringan,” katanya kepada FMT. Tegasnya, kebolehpercayaan dan ketepatan AI masih diragui, justeru alat sedemikian hanya boleh digunakan sebagai rujukan. Beliau berkata, ada alat AI dalam sektor keselamatan yang boleh membantu agensi melaksanakan operasi penguatkuasaan, seperti pengesan objek, tetapi masih timbul keraguan terhadap ketepatan teknologi itu. Walaupun syarikat AI dijangka meningkatkan kebolehpercayaan dan ketepatan alat mereka dalam masa terdekat, Lam meramalkan ia tidak akan digunakan secara meluas sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang. “Terlalu awal untuk mendakwa AI sudah sedia digunakan dalam sektor keselamatan.” Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan menggesa agensi dan jabatan di bawah kementeriannya mempercepatkan penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan. Menurutnya, AI generatif boleh meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan menganalisis sejumlah besar maklumat dan menghasilkan draf dokumen dengan pantas. Menyahut seruan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, AI akan membantu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan aset sambil memperkemas operasinya. Bulan lalu, pakar keselamatan siber menggesa Putrajaya mengharamkan penggunaan chatbot AI dari China, Deepseek di jabatan dan agensi mengendalikan data sensitif serta aliran kerja kritikal membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara. Mereka berkata, maklumat kritikal boleh dimasukkan dalam chatbot secara tidak sengaja setiap kali arahan ditaip, dengan data mungkin disimpan di luar negara dan digunakan untuk melatih serta menambah baik model AI. Malaysia tak mampu terlepas peluang Salawati Mat Basir. Pakar hal ehwal maritim, Salawati Mat Basir, berpendapat penggunaan AI dalam sektor keselamatan hampir menjadi satu keperluan ketika ini, sambil menekankan pasukan pengawal pantai negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina sudah bergerak ke arah itu. Pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, alat keselamatan AI sudah wujud untuk kerja perisikan dan taktikal, khasnya bagi mengesan serta mengenal pasti kapal atau elemen asing di kawasan maritim. “AI kini digunakan dalam peperangan dan konflik di seluruh dunia. Satelit juga digunakan untuk membantu operasi, membolehkan mereka mendapat gambaran tepat kedudukan musuh. “Saya percaya AI mampu meningkatkan operasi keselamatan. Jika kita hanya berpegang kepada kaedah konvensional, kita tidak akan maju.” Malaysia mempunyai pusat gabungan di mana imej satelit dikongsi antara agensi dan menggabungkannya dengan alat AI boleh membantu APMM mendapatkan risikan berhubung ancaman di laut dengan lebih pantas. Tetapi, beliau berkata, pengetahuan mengenai alat AI yang dirancang atau sedang digunakan agensi sangat terhad dan maklumat itu mungkin disimpan secara sulit atas alasan menjaga keselamatan negara. Walaupun kurang ketelusan pada masa lalu membawa kepada hasil boleh dipersoalkan, katanya, beliau bersedia dengan niat baik untuk memberi agensi keselamatan manfaat keraguan.