Kerajaan menang rayuan, perintah pelarasan pencen diketepi
2026-03-09 - 03:33
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi perintah kerajaan bayar tunggakan pencen RM1.7 bilion kepada 531,976 pesara. PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi memerintah kerajaan melaraskan pencen bekas penjawat awam berdasarkan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016. Hakim Azhahari Kamal Ramli ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel tiga hakim berkata, isu pelarasan pencen selesai melalui keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu pada 2022. Panel itu menjelaskan keputusan hari ini hanya terpakai kepada Aminah Ahmad dan 56 responden lain dalam kes semasa. Azhahari berkata, permohonan semakan kehakiman responden adalah res judicata dan salah guna proses mahkamah. Panel itu turut dianggotai Hakim Lim Chong Fong dan Meor Hashimi Abdul Hamid. Aminah yang bersara selepas berkhidmat di Kementerian Luar Negeri, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Jan 2024 atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam. Susulan keputusan hari ini, kerajaan tidak perlu membayar tunggakan pencen berjumlah RM1.7 bilion kepada 531,976 pesara, seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi sebelum ini. BERITA LANJUT MENYUSUL