Kerajaan laksana intervensi untuk pelihara ketahanan ekonomi negara, kata Anwar
2026-03-25 - 08:21
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berusaha menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber dan meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap laluan berisiko seperti Selat Hormuz. (Gambar PMO) KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan segera beberapa langkah intervensi awal yang proaktif dan tuntas bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara berikutan konflik di Asia Barat. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata perkara itu adalah antara yang diputuskan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini bagi meneliti perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global serta implikasi keselamatan susulan konflik berkenaan. Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan turut menggembleng usaha menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber dan meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap laluan berisiko seperti Selat Hormuz. “Walaupun masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya kos sara hidup kekal menjadi keutamaan kerajaan Madani,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook. Perdana menteri berkata kerajaan akan terus memantau rapi situasi konflik di Asia Barat, dengan maklumat akan disalurkan secara terus kepada rakyat. “Dalam mendepani cabaran itu, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan,” kata beliau.