Kerajaan komited perkasa industri kreatif
2026-03-22 - 11:50
Menteri Fahmi Fadzil tegaskan komitmen kerajaan kepada industri kreatif melalui empat dasar utama. PETALING JAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan komitmen kerajaan memperkasa industri kreatif, bersempena Hari Seniman hari ini. Menurutnya, kerajaan komited memperkasa industri kreatif melalui empat dasar utama iaitu Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN), Dasar Filem Negara, Dasar Penyiaran Negara, dan Dasar Muzik Negara. “Semoga industri ini terus maju, mampan dan berdaya saing. Terima kasih, teruskan berkarya untuk Malaysia,” katanya di Facebook. Tarikh kelahiran P Ramlee pada 22 Mac diwartakan sebagai Hari Seniman bagi mengenang karya dan bakti seniman yang mewarnai dunia seni tanah air. Sambutan ini sebagai penghargaan kepada penggiat seni untuk terus berkarya, memartabatkan budaya, dan memupuk kreativiti, menurut Kementerian Komunikasi. “Penghargaan kepada semua seniman dan penggiat industri kreatif yang memperkaya identiti serta menyatukan masyarakat melalui karya mereka,” kata Fahmi.